KUALA TERENGGANU : Semua operasi perniagaan di kompleks beli-belah, pasar raya besar dan pasar raya di seluruh negeri ini ditutup sepenuhnya pada 1 Syawal.
Bagaimanapun, operasi bagi premis makanan segera dan kedai runcit 24 jam seperti 7 Eleven, Treleaf Mart, Eco Shop, DIY hanya ditutup bermula 12 tengah malam 1 Syawal hingga 1 tengah hari pada raya pertama.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Perumahan dan Kesihatan Negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, arahan itu bertujuan memuliakan kedatangan 1 Syawal.
Katanya, penutupan sementara itu juga membolehkan pekerja yang beragama Islam menunaikan solat sunat Aidilfitri serta meraikan lebaran dengan lebih ceria bersama keluarga tersayang.
“Kerajaan negeri berharap arahan ini dipatuhi oleh semua pengusaha dan pemilik premis. Sebarang kegagalan mematuhi peraturan akan dikenakan tindakan berpandukan undang-undang yang diguna pakai pihak majlis,” katanya hari ini.
Tambahnya, notis berkaitan arahan tersebut telah diedarkan kepada pihak pengurusan premis terlibat.-UTUSAN