KULIM: Jabatan Imigresen sedang menunggu kelulusan Jabatan Peguam Negara untuk memberi pengecualian terhadap tindakan undang-undang di bawah Program Repatriasi Migran sebelum dilanjutkan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, amat penting untuk mendapatkan persetujuan Jabatan Peguam Negara bagi membolehkan hanya kompaun dikenakan berbanding siasatan yang perlu membuka kertas pendakwaan.
Menurut beliau, mengikut dasar sedia ada Program Repatriasi Migran akan berakhir pada 31 Mac ini dan pihaknya dalam proses melanjutkan program berbentuk pengampunan itu kepada pendatang asing tanpa izin (PATI)
“Kalau ikut undang-undang kita akan buka kertas siasatan terhadap mereka yang membawa ke muka pengadilan dan berakhir di penjara.
“Jadi Imigresen sekarang sedang satu lagi proses iaitu untuk mendapatkan persetujuan Jabatan Peguam Negara untuk proses kompaun sahaja berbanding dengan proses siasatan kertas pendakwaan. Itu sahaja satu proses yang kami perlu selesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Majlis Iftar Bersama Menteri Dalam Negeri, Jabatan Imigresen Malaysia Tahun 2025 di sini, malam tadi.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, sejumlah 246,732 PATI menyertai Program Repatriasi Migran dengan tampil secara sukarela kepada Jabatan Imigresen untuk pulang ke negara asal.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, kesemua mereka melibatkan PATI dari 115 buah negara dengan pendaftaran tertinggi diterima dari Indonesia, Bangladesh, India, Myanmar dan Pakistan.
Saifuddin berkata, Program Repatriasi Migran merupakan alternatif yang diambil oleh KDN dan imigresen supaya pilihan itu lebih bersifat manusiawi berbanding keberadaan PATI di negara ini yang berakhir di depoh tahanan.
Menurut beliau, program repatriasi pada tahun lepas berjaya mengutip sebanyak RM120 juta bayaran kompaun daripada PATI yang sukarela menyerah diri untuk pulang ke negara masing-masing.
“Mereka kena tampil dan bayar kompaun kerana sebenarnya mereka (PATI) berada di sini pun sudah menyalahi undang undang. Jadi kita buka ruang supaya mereka boleh balik kerana kalau pasukan penguat kuasa Imigresen buat operasi, mereka ditangkap dan berakhir di depoh,” katanya.
End