Kod QR diperluas ke laluan kereta Malaysia-Singapura

Kod QR diperluas ke laluan kereta Malaysia-Singapura

Fadillah Yusof bercakap dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Bagi Menangani Kesesakan di Tambak Johor Bilangan 1 Tahun 2025 di Menara 1 Bukit Aman, semalam. -UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penggunaan kod respons pantas (QR) bagi urusan imigresen di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Johor akan diperluaskan ke ­laluan kenderaan bagi me­ngurangkan kesesakan di pintu masuk Malaysia-Singapura.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pelaksanaan percubaan konsep (proof-of-concept) itu diteruskan selepas ia berjaya digunakan untuk dua mod pe­ngangkutan iaitu bas dan motosikal.

Katanya, kaedah tersebut akan diperluaskan ke laluan kereta bagi meningkatkan kecekapan keluar masuk rakyat dan pelawat terutamanya di Johor.

“Dengan segala usaha me­ningkatkan perkhidmatan, tek­nologi, infrastruktur dan sistem, kita dapat mengurangkan kesesakan. Kod QR ini membolehkan urusan imigresen di­selesaikan hanya dalam tiga saat.

“Kita akan teruskan proof-of-concept ini untuk digunakan kepada laluan kereta juga. Jadi, diharapkan itu akan meningkatkan kecekapan perkhidmatan kita untuk keluar masuk rakyat dan pengunjung ke Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Me­syuarat Jawatankuasa Khas Bagi Menangani Kesesakan di Tambak Johor Bilangan 1 2025, di sini, semalam. Turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Fadillah berkata, sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia perlu mengambil tindakan segera bagi memastikan kelancaran di pintu masuk negara ter­utama dengan kewujudan hab pelaburan Malaysia-Singapura di Johor serta persiapan menghadapi Tahun Melawat Malaysia 2026.

Katanya, mesyuarat turut bersetuju secara prinsip bahawa jawatankuasa berkenaan bukan hanya menumpukan kepada kemasukan di Johor tetapi akan diperluas ke semua pintu masuk antarabangsa negara.

“Model diterapkan di Johor akan dijadikan rujukan bagi pelaksanaan di lokasi lain untuk memastikan kemasukan pelawat dan pelabur berjalan lancar,” katanya.

Sementara itu, ­Saifuddin berkata, penggunaan kod QR bagi pelepasan imigresen di BSI dan KSAB, Johor yang dilaksana­kan tahun lalu untuk penunggang motosikal dan penumpang bas terbukti berkesan.

Katanya, sebelum ini, hanya 90 motosikal dapat melepasi satu lorong pemeriksaan dalam tempoh 15 minit, namun selepas pelaksanaan kod QR, jumlah itu meningkat kepada 150 motosikal dalam tempoh sama.

“Tumpuan kini diberikan kepada pengguna kereta. Selepas kesesakan bagi motosikal dan bas berkurangan, pengguna kenderaan persendirian pula menjadi kumpulan paling terkesan.

“Jawatankuasa akan turut mencari penyelesaian bagi kesesakan di pintu masuk lain seperti Rantau Panjang, Sadao, Bukit Kayu Hitam, Padang Besar serta pintu masuk udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Pulau Pinang, Kota Kinabalu dan Kuching,” katanya.

Mengenai projek Rapid Transit System (RTS), Saifuddin berkata, ia dijangka siap mengikut jadual pada 31 Disember 2026 dan mampu membawa 10,000 hingga 20,000 penum­pang setiap jam.

Katanya, persiapan awal diperlukan bagi memastikan penyuraian trafik yang berkesan di Bukit Chagar di sebelah Malaysia dan lokasi RTS di Si­ngapura.

Saifuddin turut memaklum­kan mesyuarat hari ini mem­bincangkan keperluan menye­lenggara serta menggantikan kemudahan lama seperti eska­lator dan lif yang telah digunakan lebih 10 hingga 15 tahun dengan peruntukan bagi tujuan itu sudah dikenal pasti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya