KKM sokong larangan jualan gula-gula berbentuk vape di sekolah

KKM sokong larangan jualan gula-gula berbentuk vape di sekolah

DZULKEFLY Ahmad bergambar bersama Pembantu Perubatan pada Majlis Pelancaran Hari Pembantu Perubatan Ke-14 Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di Auditorium Perdana, Hospital Tunku Azizah. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menyambut baik langkah Kementerian Pendidikan (KPM) melarang penjualan makanan yang boleh membahayakan kesihatan murid, termasuk gula-gula berbentuk vape di sekitar kawasan sekolah.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, larangan berkenaan selaras dengan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) serta perintah berkaitan yang telah berkuat kuasa sejak 1 Oktober 2024.

Beliau berkata, Seksyen 8 akta berkenaan juga memperuntukkan larangan penjualan produk merokok tiruan yang berkemungkinan menggalakkan pembelian atau penggunaan produk merokok, khususnya dalam kalangan individu belum dewasa.

“Saya merujuk kepada Seksyen 8 dan Seksyen 11 yang jelas melarang penjualan apa-apa produk merokok tiruan.

“Berdasarkan peruntukan ini, saya dan KKM menyambut baik inisiatif serta tindakan KPM dalam melarang penjualan gula-gula tersebut di sekitar kawasan sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Hari Pembantu Perubatan Ke-14 Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Semalam, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilaporkan berkata, KPM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menjual makanan berbahaya terhadap keselamatan murid.

Kenyataan itu dibuat susulan pendedahan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang mengesan kemunculan semula gula-gula berbentuk peranti vape dan jarum suntikan di pasaran tempatan.

Kemunculan gula-gula tersebut telah menimbulkan kebimbangan terhadap normalisasi tabiat merokok dalam kalangan kanak-kanak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya