PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) melancarkan WhatsApp Aduan Kebersihan Premis Makanan, platform khusus bagi orang awam menyalurkan aduan berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan.
Menterinya, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad berkata, orang ramai boleh menyalurkan aduan menerusi talian 012-8484378 dan melaporkan aduan berkaitan kebersihan makanan di premis makanan dan Bazar Ramadan sepanjang bulan mulia ini.
Beliau berkata, platform itu diperkenalkan bagi memastikan keselamatan makanan menjadi tanggungjawab bersama dan aduan dapat disampaikan secara langsung.
“Talian itu juga adalah tambahan kepada langkah pemantauan dan advokasi sedia ada diperkenalkan KKM malah, ia akan dilayan dengan lebih mudah dan pantas.
“Talian itu bukan hanya diguna pakai sepanjang Ramadan ini sahaja sebaliknya terus digunakan selepas itu,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Kempen Kebersihan dan Keselamatan Makanan Bazar Ramadan 2025 di sini, hari ini.
Katanya, platform WhatsApp itu melengkapkan ekosistem saluran aduan sedia ada seperti telefon, emel, media sosial, Sistem Pengurusan Aduan Awam (SiSPAA), serta aduan secara terus di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau Jabatan Kesihatan Negeri (JKN).
Dr Dzulkefly berkata, pihaknya berharap orang ramai dapat memanfaatkan talian aduan itu bagi memastikan makanan yang dijual di bazar memenuhi piawaian kebersihan dan keselamatan yang telah ditetapkan.
Menurutnya, pemantauan dibuat merangkumi keseluruhan rantaian bekalan makanan, dari sumber bahan mentah hingga ke penyediaan dan penjualan di bazar Ramadan.
“Ini termasuk pemeriksaan ke atas premis penyediaan makanan, kilang ais, restoran, serta gerai makanan
yang dilesenkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.
Dalam pada itu, Dr Dzulkefly berkata, sejak Februari lalu, KKM dengan kerjasama JKN dan PBT telah mengenal pasti lokasi serta jumlah gerai bazar Ramadan yang beroperasi di seluruh negara.
Katanya, setakat ini, 260 sesi taklimat kebersihan premis dan pengendalian makanan telah dilaksanakan, melibatkan 76,803 gerai di 1,292 tapak bazar Ramadan di seluruh negara.
“Sebanyak 1,781 premis penyediaan makanan, termasuk kilang ais, restoran, dan hotel, telah diperiksa bagi memastikan mereka telah mengikuti Latihan Pengendali Makanan (LPM) serta mendapat suntikan anti-tifoid,” katanya. – UTUSAN