PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan mengalu-alukan mana-mana pihak yang mempunyai bukti saintifik yang mencukupi penggunaan bahan berasaskan kanabis bagi tujuan perubatan manusia untuk membuat pendaftaran produk tersebut.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, permohonan pendaftaran itu boleh dibuat kepada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan seterusnya membolehkan produk tersebut dipasarkan di negara.
Beliau berkata, di Malaysia, kanabis atau apa jua nama lain diberikan seperti ganja, marijuana atau hemp yang menghasilkan resin kanabis, ekstrak kanabis dan produk berasaskan kanabis adalah dikawal sebagai “dadah berbahaya” di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sebagai “racun” di bawah Akta Racun 1952.
Katanya, sekiranya keluaran berasaskan kanabis untuk digunakan bagi tujuan perubatan manusia atau haiwan, maka keluaran itu turut dikawal sebagai “dadah” di bawah Akta Jualan Dadah 1952.
“Akta-akta ini dan perundangan subsidiarinya memperuntukkan kawalan ke atas semua aktiviti yang bersangkutan dengan kanabis dan hasilnya merangkumi pengimportan, pengeksportan, pemilikan, penanaman, penjualan, pembekalan dan penggunaan.
“Akta Jualan Dadah 1952 melalui perundangan subsidiarinya iaitu Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 antara lain memperuntukkan keperluan suatu dadah (keluaran) untuk didaftarkan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah sebelum boleh diimport, dikilang dan dijual atau dibekalkan di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulisnya bagi menjawab pertanyaan Dr. Kelvin Yii Lee Wuen (PH – Bandar Kuching) yang meminta Menteri Kesihatan menyatakan sama ada kerajaan bercadang meluluskan penggunakan kanabis bagi tujuan perubatan dan penanaman hemp sebagai sumber pendapatan baharu negara.
Dzulkefly berkata, pada masa ini, tiada keluaran berasaskan kanabis bagi tujuan perubatan yang berdaftar di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Bagaimanapun, katanya, pada tahun 2014, satu keluaran berasaskan kanabis dengan jenama Sativex telah didaftarkan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah.
“Namun, keluaran ini telah dibatalkan pendaftarannya pada tahun 2017 atas permohonan pemegang pendaftaran keluaran tersebut kerana tiada permintaan dan pasaran bagi penggunaannya,” katanya.
Berkaitan penanaman kanabis, Dzulkefly berkata, penanaman tumbuhan itu di Malaysia adalah dilarang di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 yang diperuntukkan di bawah subseksyen 6B(1) Akta tersebut.
“Namun larangan ini tidak menghalang Menteri Kesihatan untuk memberi kebenaran kepada pegawai awam untuk menanam kanabis bagi tujuan penyelidikan, pendidikan, eksperimen atau perubatan di suatu tempat dan dengan tertakluk kepada terma dan syarat yang boleh ditetapkan dalam kebenaran tersebut seperti diperuntukkan di bawah subseksyen 6B(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Justeru, buat masa ini, penanaman kanabis hanya dibenarkan oleh orang dan bagi tujuan tersebut sahaja,” katanya. – UTUSAN