KK Super Mart sumbang RM100,000 bantu kesedaran Alzheimer

KK Super Mart sumbang RM100,000 bantu kempen kesedaran Alzheimer

KK Chai menyampaikan cenderahati kepada wakil Yayasan Penyakit Alzheimer Malaysia (ADFM) dalam majlis berbuka puasa di Kelab Golf Negara Subang, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK SUPER MART) memperuntukkan dana sebanyak RM100,000 bagi menyokong kempen kesedaran penyakit demensia di Malaysia.

Inisiatif itu dilaksanakan dengan kerjasama Yayasan Penyakit Alzheimer Malaysia (ADFM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Pusat Kajian Penuaan Sihat & Kesejahteraan (H-CARE).

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif KK SUPER MART, Datuk Seri Dr. KK Chai berkata, sumbangan itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat dan menyokong penyelidikan berkaitan penyakit demensia yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Kita sering melihat kesan penyakit ini terhadap pesakit, tetapi sejauh mana kita dan masyarakat bersedia membantu. Maka, adalah wajar syarikat korporat seperti KK SUPER MART turut memainkan peranan.

“Dana ini akan digunakan bagi menjadikan beberapa cawangan KK SUPER MART sebagai ruang mesra demensia supaya masyarakat mendapat pendedahan secara langsung mengenai keperluan individu yang menghidap penyakit ini,” katanya pada majlis berbuka puasa dekat sini kelmarin.

Selain itu, dana berkenaan juga akan digunakan bagi menyokong penyelidikan dalam bidang demensia serta membantu UKM menjalankan kajian yang lebih mendalam.

“Antara inisiatif lain yang akan dilaksanakan termasuk lawatan ke rumah keluarga pesakit, penyediaan keperluan asas serta program kesedaran awam mengenai penyakit ini,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan kesedaran, KK SUPER MART turut menerbitkan video kempen Hari Raya bertajuk Kesetiaan Kasih Mama, memaparkan bagaimana demensia atau Alzheimer yang bermula secara perlahan tanpa disedari boleh menguji nilai kemanusiaan seseorang.

Majlis berbuka puasa itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif ADFM, Tan Sri Hasmah Abdullah; wakil Pusat Penuaan Sihat dan Kesejahteraan (H-CARE) UKM, Prof. Madya Dr. Arimi Fitri serta Pengarah Hal Ehwal Pelajar UKM, Prof. Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya