REMBAU: Kisah tiga beranak yang tinggal di rumah uzur serta usang seperti dilaporkan Utusan Malaysia baru-baru ini mendapat perhatian pihak Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).
MAINS memaklumkan, keluarga orang Asli yang menetap di Kampung Ulu Chembong di sini itu telah diziarahi dan akan dibantu selepas ini.
“Maklumat awal, rumah yang didiami mereka telah mengalami pelbagai kerosakan dan berkeadaan uzur.
“MAINS (Daerah Rembau) akan membantu keluarga bagi bantuan kewangan secara bulanan memandangkan ketua keluarga mengalami masalah kesihatan yang serius dan tidak dapat keluar bekerja,” kata organisasi itu di media sosial.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris dalam pada itu juga telah memohon semua agensi berkaitan untuk memberi perhatian dan membantu menambah baik atau membina semula rumah keluarga terbabit.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, lantaran pendapatan tidak mencukupi, sepasang suami isteri dan anak mereka berusia tiga tahun hanya mampu tinggal di sebuah rumah uzur yang hanya menunggu masa untuk roboh.
Anis Elam, 35, berkata, dia membawa keluarganya tinggal di rumah usang peninggalan ibunya yang terletak di Kampung Ulu Chembong itu sejak tiga tahun lalu kerana tidak mempunyai rumah lain untuk berlindung.
Dia yang hanya bekerja kampung dengan mengambil upah menoreh getah dengan pendapatan hanya RM400 sebulan memberitahu tidak mampu menyewa rumah yang lebih selesa.-UTUSAN