KUALA LUMPUR: Penyanyi, Luqman Podolski tampil bekerjasama dengan ZUS Coffee menerusi lagu raya terbaharunya yang berjudul Cerita Malam Raya.
Selain Luqman, ZUS Coffee turut menjalinkan kerjasama dengan Faithful Music, Loko Films dan Zeppo Youngsterz Crew, Cerita Malam Raya turut menyelitkan elemen lawak seram yang diinspirasikan daripada tradisi filem Hari Raya dan perbualan larut malam di antara keluarga dan rakan-rakan.
Menurut Luqman, dia amat berbesar hati untuk berkolaborasi dengan jenama minuman tempatan itu serta tertarik dengan kelainan yang diterapkan menerusi lagu raya tersebut.
“Berkolaborasi dengan ZUS Coffee dalam proses kreatif video muzik Cerita Malam Raya merupakan sebuah pengalaman yang bermakna. Susunan lagu daripada Faithful Music sememangnya membakar semangat perayaan dan seni tarian daripada Zeppo Youngsterz Crew berjaya menangkap kemeriahan malam raya.
“Pada saya, lagu Cerita Malam Raya ini membawa kelainan yang kita tidak selalu lihat untuk Hari Raya, iaitu gabungan semangat perayaan dengan cerita seram.
“Hantu-hantu dalam video muzik ini memang menakutkan! Saya harap semua juga terhibur dengan video muzik ini sebagaimana kami semua berasa teruja semasa proses penggambaran,” katanya.
Difahamkan kolaborasi itu dijalankan sempena kempen Sembang-Sembang dengan ZUS bagi Syawal tahun ini.
Dalam pada itu, Pengarah Kreatif ZUS Coffee, Shafiqah Othman berkata, satu lagi aspek utama kempen itu dijalankan adalah kerjasama yang terjalin dengan kolektif artis tempatan malah, terkenal dengan karya seni Malaysia yang nostalgia dan ekspresif.
“Cerita Malam Raya adalah projek yang mengingatkan kami tentang kemeriahan yang tercipta apabila kami mengetepikan telefon bimbit kami dan benar-benar bersembang antara satu sama lain.
“Kerjasama seperti inilah yang mengingatkan kami tentang mengapa kami sangat menghargai bekerja dengan bakat tempatan seperti Luqman, Faithful Music, Loko Films dan Zeppo Youngsterz Crew.
“Bila kami bekerjasama, ia mencetuskan idea yang bergema dengan masyarakat,” kata Shafiqah.
Video muzik Cerita Malam Raya boleh ditonton pada 7 Mac, jam 9 malam di saluran rasmi ZUS Coffee di Instagram, TikTok, YouTube serta boleh didengar di Spotify.-UTUSAN