Kisah polong ‘makan’ tuan difilemkan - Utusan Malaysia

Kisah polong ‘makan’ tuan difilemkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mengambil inspirasi daripada jenayah berprofil tinggi, pengarah, Zulkarnain Azhar menghasilkan filem seram pertamanya bertajuk Polong. 

Jelas Zulkarnain, kes pembunuhan Mona Fandey membabitkan seorang ahli politik, Mazlan pada 1993 memberi kesan mendalam menyebabkannya menulis skrip filem ini. 

“Polong adalah sebuah filem yang bertemakan dosa silam, legasi serta akibat yang tidak dapat dielakkan kesan daripada perbuatan masa lampau terutama sekali dengan mengamalkan ilmu hitam. 

“Ia bukan sekadar sarat dengan elemen seram, tetapi menjadi simbolik kepada kegelapan yang kita bawa dalam diri kita sendiri, sama ada melalui dosa masa lalu atau trauma yang tidak dapat diselesaikan.

“Saya banyak buat kajian mengenai Allahyarham Mona Fandey dan menonton filem seram tempatan lain. Saya merasakan banyak benda tidak dirungkai dalam kes itu. Jadi saya mahu kupas misteri itu dalam filem ini,” katanya. 

Bakal memulakan penggambaran pada bulan Mei ini, Polong menampilkan barisan pelakon popular tanah air seperti Mimi Lana, Fad Anuar, Namron, June Lojong dan Nadiya Nisaa. 

Sementara itu, Onn Norshal Hamzah selaku penerbit eksekutif berkata, pihaknya memilih cerita seram sebagai projek sulung syarikat berkenaan adalah berdasarkan kepada filem bergenre sedemikian yang selalu mendapat sambutan. 

“Pemilihan Polong telah melalui satu proses diskusi yang sistematik dengan melihat kepada kekuatan komersil yang tinggi, selain dijangka mampu memberikan impak saingan dalam pasaran filem tempatan dan luar di pawagam. 

“Dengan kualiti penceritaan, penerbitan dan kuasa pasaran yang kuat bagi genre seram, pihak GSPSB melalui filem Polong yakin dengan kemampuan kami untuk menawarkan kelainan dari segi karya dengan kekuatan yang merangkumi semua aspek penerbitan,” jelasnya.

Polong mengangkat kisah Maria Hadi, seorang wanita yang hidup dengan amalan ilmu hitam dan dosa lampaunya, namun cuba mencari keampunan di akhir hayatnya. 

Dia terpaksa melepaskan polong belaan kepada orang yang tidak sepatutnya, tetapi polong berkenaan ingin membalas dendam selepas kematian Maria dan sumpah laknatnya perlu dihadapi oleh pewaris Maria. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya