YAN: Sebuah kilang padi di daerah ini dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah selepas didapati mencemarkan udara sehingga menjejaskan kesejahteraan penduduk sekitar.
Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, hasil siasatan mendapati sistem kawalan pencemaran udara kilang itu gagal berfungsi dengan baik, menyebabkan pencemaran yang ketara.
“Kilang berkenaan melanggar Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana kegagalan alat kawalan pencemaran beroperasi secara optimum dan tindakan POK dikenakan bagi mengelakkan pencemaran berterusan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
JAS Kedah turut mengeluarkan notis arahan di bawah Seksyen 31 dan Seksyen 37 akta sama bagi mengarahkan premis terbabit mengambil langkah pembaikan segera.
Kilang itu hanya dibenarkan beroperasi semula selepas tindakan pembetulan dilaksanakan dan disahkan oleh JAS Kedah.
Pihak industri diingatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang alam sekitar bagi mengelakkan tindakan tegas.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pencemaran boleh membuat aduan melalui talian bebas tol 1-800-88-2727, e-mel ke [email protected], atau portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my. – UTUSAN