Kilang e-waste lepas sisa toksik, penduduk terdedah pada bahaya

Kilang e-waste lepas sisa toksik, penduduk terdedah pada bahaya

LONGGOKAN sisa e-waste yang ditemukan di sebuah kilang haram di Teluk Panglima Garang, Banting, Selangor. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penduduk di sekitar Kuala Langat, Klang dan Hulu Selangor mendakwa, kilang memproses sisa elektrik dan elektronik (e-waste) yang beroperasi di sekitar penempatan mereka sering melepaskan bahan toksik yang mencemarkan kualiti udara, air dan tanah di kawasan tersebut.

Akibat tindakan tidak bertanggungjawab itu, penduduk di sekitar daerah itu termasuk di Banting, Jenjarom, Sijangkang, Olak Lempit, Teluk Panglima Garang, Pulau Carey, Meru, Kapar, Rasa dan lain-lain kini menderita akibat pencemaran.

Wakil penduduk, Pua Lay Peng dari Kampung Baru Sungai Jarom, Jenjarom berkata, mereka sudah berulang kali menyuarakan kebimbangan me­ngenai operasi kilang e-waste haram sejak 2019 lagi.

Katanya, sehingga kini kilang-kilang tersebut masih lagi beroperasi kerana tiada tindakan penguatkuasaan dilaksanakan sejak kebelakangan ini.

“Kami, komuniti yang terkesan, tidak boleh bertolak ansur dengan ancaman terhadap kesihatan dan alam sekitar yang teruk akibat pemprosesan sisa haram ini.

“Kami menuntut tindakan tegas yang berterusan daripada kerajaan untuk melindungi kampung, keluarga, anak-anak, dan masa depan kami,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Seorang lagi penduduk, Mohd. Nazri Afrizal dari Kampung Jenjarom berkata, pemprosesan sisa e-waste memberi kesan buruk kepada kualiti udara, air dan pencemaran tanah yang berisiko membawa kepada makanan tercemar.

Katanya, pembakaran sisa e-waste mengakibatkan pelbagai bahan kimia dibebaskan seperti dioksin, furan dan logam-logam berat ke udara, sekali gus mengundang masalah pernafasan, sakit kronik dan kanser.

“Kami selalu mengalami ba­tuk berterusan, kesukaran bernafas, iritasi mata dan ruam kulit. Kualiti udara yang sering kali merosot memberi kesan negatif khususnya kepada anak-anak kami dan warga emas.

“Bahan kimia toksik dari kilang e-waste haram yang dibuang ke sungai dan longkang turut mencemarkan sumber air.

”Logam berat seperti plumbum, merkuri dan kadmium akan meresap ke dalam air bawah tanah, menjadikannya tidak selamat untuk diminum dan digunakan dalam pertanian.

“Manakala sisa e-waste berbahaya yang meresap ke dalam tanah mengakibatkan toksin terkumpul dalam tanaman dan memasuki rantaian makanan. Pendedahan berterusan kepada bahan berbahaya ini boleh menyebabkan gangguan saraf, kelewatan perkembangan dalam kanak-kanak dan masalah pembiakan,” katanya.

Sementara itu, Suhaizam Mohd. Kassim dari Kampung Sungai Manggis, Banting berkata, pihaknya menuntut kerajaan mengekalkan larangan mengimport sisa e-waste dan bahan berbahaya lain seperti plastik.

Katanya, pihaknya juga mahu penguatkuasaan lebih tegas dilaksanakan terhadap kilang berlesen dan kilang haram berkaitan e-waste dengan membuat serbuan dan pemeriksaan berkala serta merobohkan premis tidak berlesen.

“Kami menyeru pihak ber­kuasa membuat pengumuman kawasan kilang haram dijum­pai, jumlah kilang ditutup, denda dikenakan dan individu yang didakwa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya