PETALING JAYA: Sambutan hari raya Aidilfitri pelakon, Kilafairy, 33, tidak lagi meriah sejak kehilangan arwah ibu, Allahyarham Rohana Jalil akibat kebocoran usus.
Malah, menurut pelakon Oh My Hantaran itu lagi, dia juga tidak membeli baju baru yang selalu dilakukan para wanita.
“Tak, saya tak beli baju raya.
“Apalah makna raya tanpa seorang ibu,” tulisnya menerusi hantaran di aplikasi Threads pada Selasa.
Ibunya yang juga penyanyi popular era 80-an menghembuskan nafas terakhir pada 21 Jun 2023 setelah beberapa organ utama seperti paru-paru dan buah pinggang sudah dijangkiti kuman.
Bagaimanapun, perkongsian Kilafairy atau Syakila Nisa Jahangir Khan itu mengundang perhatian ramai yang rata-ratanya pernah melalui episod kehilangan orang yang tersayang.
“Ingatkan saya seorang sahaja yang rasa begini, rupanya ada juga. Ibu saya meninggal kerana barah payudara pada 2021. Sangat sedih sebab raya sudah tak sama seperti dulu,” tulis satu komen.
“Saya dah beli baju untuk ibu sebelum dia pergi. Sekali ibu tiada, ini raya pertama tanpa ibu. Semoga syurga buat ibu bapa kita,” tambah satu komen.
“Sudah enam tahun ibu saya pergi, tapi saya masih rindukannya. Rindu masakannya yang sedap,” kata satu komen. -UTUSAN