IPOH: Keterangan tambahan yang dibawa masuk sebagai bukti baharu dalam kes rogol pembantu rumah warga Indonesia oleh bekas Exco kerajaan negeri, Paul Yong Choo Kiong disifatkan sebagai keterangan ‘dengar cakap’.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Wahab Mohamed berkata, bukti baharu yang dikemukakan itu tidak wajar diberi pertimbangan kerana wujud faktor-faktor lain yang menyebabkan kesahihan keterangan itu diragui.
Malah katanya, surat penyataan (pengakuan) pembantu rumah itu yang dibuat peguam atas arahan dan ditandatangani sendiri oleh mangsa juga menimbulkan persoalan sama ada benar-benar daripada mangsa atau sebaliknya.
“Mahkamah telah meneliti segala eksibit dan mendapati kesahihan (surat penyataan) meragukan apabila dilihat pada para pertama yang dinyatakan (dalam pengakuan) bahawa ‘saya terikat kerja selama tiga tahun dari 7 Mei 2019 hingga Mei 2022 dan sudah bekerja sebagai asisten rumah tangga pada keluarga Yong Choo Kiong dari 7 Mei 2019 hingga Mei 2021.
“Kenyataan ini memberi gambaran bahawa saksi pendakwaan ke-15 (mangsa) telah berkhidmat dengan tertuduh selama dua tahun sejak dari tarikh 2019 hingga Mei 2021.
“Namun berdasarkan bukti dokumen dan keterangan saksi-saksi ketika kes dibicarakan di mahkamah, didapati wanita itu bekerja dengan tertuduh hanya selama dua bulan iaitu dari 18 Mei hingga tarikh kejadian rogol itu berlaku pada 7 Julai 2019.
“Jika benar kenyataan itu datang daripada mangsa, bagaimana dia boleh terlepas pandang tempoh masa dia bekerja dengan tertuduh dan tarikh kejadian rogol itu berlaku di mana pada keesokkan hari, dia telah melarikan diri dan tidak kembali bekerja di rumah tersebut.
“Tarikh-tarikh ini merupakan satu yang material yang menjadi perkara asas bagi pertuduhan ke atas tertuduh,” katanya dalam prosiding berhubung bukti baharu yang dikemukakan pihak pembelaan sebelum ini di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Selain itu, Hakim Abdul Wahab memberitahu terdapat perbezaan ketara membabitkan tandatangan mangsa pada penyataan bersumpah yang dikemukakan pihak pembelaan berbanding tandatangan wanita itu pada dokumen lain sebelum ini.
“Jika sekalipun keterangan tambahan yang dikemukakan itu adalah relevan dengan kes dihadapi tertuduh, namun undang-undang adalah mantap bahawa keterangan dengar cakap tidak boleh diterima sebagai keterangan dalam perbicaraan kecuali jika ia memenuhi syarat keterangan yang dibenarkan oleh undang-undang.
“Oleh yang demikian, mahkamah ini mendapati keterangan tambahan itu adalah keterangan dengar cakap dan tidak digariskan di bawah Seksyen 32(1) Akta Keterangan 1950.
“Oleh itu, ia tidak wajar diterima masuk dan diberi pertimbangan apatah lagi wujud faktor lain yang menyebabkan kesahihan keterangan tambahan itu diragui seperti mana yang telah saya jelaskan di atas.
“Dalam keadaan ini, mahkamah ini ingin mengekalkan keputusan terdahulu bahawa tiada keraguan munasabah yang telah berjaya ditimbulkan oleh pihak pembelaan dan dengan itu sabitan patut dikekalkan,” ujar beliau.
Pada 5 Februari lalu, pihak pembelaan mengemukakan penyataan bekas pembantu rumah itu bahawa dia telah memberi keterangan palsu berhubung dakwaan rogol oleh Choo Kiong dan berhasrat menarik balik keterangan tersebut.
Wanita berusia 24 tahun itu mendakwa memberi keterangan palsu berkenaan sebagai alasan agar dapat pulang ke Indonesia sebelum kontrak kerjanya berakhir dan dinyatakan sendiri oleh `mangsa’ kepada seorang peguam di Sumbawa, Indonesia, Pathurrahman, 58.
Pada 27 Julai 2022, Mahkamah Tinggi Ipoh mendapati Choo Kiong, 54, bersalah merogol pembantu rumah warga Indonesia berusia 24 tahun di dalam bilik rumahnya di Ipoh, Perak antara 8.15 malam dan 9.15 malam pada 7 Julai 2019.
Pada prosiding hari ini, pasukan pembelaan diwakili Datuk Rajpal Singh dan Salim Bashir manakala pihak pendakwaan diwakili Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Muhammad Zaki Abdul Kudos bersama Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul Ghani dan Qurratu’aini Khalifah. – UTUSAN