KESUMA peruntuk RM200,000 beli kurma, zaitun dari Palestin

KESUMA peruntuk RM200,000 beli kurma, zaitun dari Palestin

STEVEN Sim ketika hadir pada Majlis Perhimpunan Bulanan KESUMA di Kompleks Setia Perkasa, Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memperuntukkan RM200,000 bagi membeli pelbagai produk buatan Palestin sebelum diagihkan kepada warga kementerian itu sempena Ramadan kali ini.

Menterinya, Steven Sim berkata, ia membabitkan produk makanan seperti kurma dan zaitun yang diperoleh menerusi pengusaha di Palestin sebagai tanda sokongan kepada perjuangan rakyat negara itu.

“Ini mungkin usaha kecil pihak kementerian, namun ia boleh membantu petani-petani di negara bergolak itu. Tetapi ada netizen tanya, di mana ada lagi pokok kurma di Palestin kerana semua tempat dah kena bom.

“Ramai yang salah faham, di Palestin ada lagi tempat seperti Tebing Barat dan produk yang kami beli itu diperoleh dari Nablus iaitu salah satu kawasan di bawah pentadbiran Kerajaan Palestin.

“Netizen ini bersemangat lebih dan tak baca fakta dan kemudian buat fitnah. Ada yang mempersoal, mana lagi ada pokok kurma dan pokok zaitun di sana,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KESUMA di sini, hari ini.

Katanya, beliau memberi jaminan bahawa produk yang dibeli itu memang dari Palestin dan ditanam di negara itu.

Jelasnya lagi, walaupun rakyat Palestin bergelut dengan perang dan konflik lebih 70 tahun, namun, masih ada perusahaaan dan industri yang beroperasi selain kebun dan ladang.

“Pembelian produk Palestin adalah simbolik kepada penolakan dan kecaman kita kepada penindasan rejim Zionis,” katanya.

Dalam pada itu, Sim berkata, beliau pernah berbincang dengan seorang pemimpin Palestin yang mengendalikan hal ehwal perburuhan dan mendapati aspirasi pekerja di negara itu sebenarnya sama dengan pekerja di Malaysia.

“Mereka pergi kerja dalam keadaan terhormat dan bukan dalam keadaan dijajah serta dihina. Tetapi pada masa sama mendapat gaji yang bermaruah malah, selepas bekerja mereka boleh pulang ke rumah masing-masing dengan selamat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya