KUALA LUMPUR: Kumpulan pelawak, Shiro yang dianggotai oleh Ajak dan Shahrol, yakin mencipta keserasian bukanlah perkara yang asing buat mereka meskipun sudah tujuh tahun tidak sepentas.
Mahu memulakan lembaran baharu, Shahrol berkata, usia perkenalan yang lama membuatkan mereka sudah mengenali tindak-tanduk masing-masing dan saling memahami antara satu sama lain.
“Sebenarnya keserasian itu memang tidak pernah hilang sebab kami pun sudah lama berkawan. Kami berkawan sejak kecil. Jadi, keserasian itu sudah ada. Untuk kita pupuk balik keserasian itu tak ada isu apa-apa.
“Kami sudah jumpa beberapa kali, bila kita bersembang dan berbual, bila saya tengok mata dia, dia tengok mata saya, kami sudah tahu apa yang kita nak cakap.
“Bila orang lalu nak bahan apa kita dah tahu apa semua kan dengan sekelip mata sahaja,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada sidang media Temasya Komedi Rakyat, pada Isnin.
Meskipun keakraban mereka pernah diduga, Ajak menyifatkan kemelut yang lalu membuatkan persahabatan mereka menjadi semakin matang bahkan lebih baik daripada sebelumnya.
“Alhamdulillah sebab umum tahu kita pernah ada masalah sebelum ini. Dan benda itu saya anggap biasa dalam kita bersahabat. Tetapi selepas bermaafan hari itu, Alhamdulillah, hubungan kami semakin baik.
“Setiap kali balik kampung ataupun setiap kali Shahrol berada di Kuala Lumpur kalau ada masa kita akan berjumpa. Dan sebenarnya sebelum perjumpaan hari ini pun kami bersembang di kampung.
“Jadi saya rasa isu keserasian ini Insya-Allah saya rasa tak ada masalah. Benda itu sudah terpupuk pun sebelum ini,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Shiro bakal membuat kemunculan semula di pentas lawak Temasya Komedi Rakyat yang diadakam secara jelajah di tiga buah negeri iaitu Pahang, Perak dan Johor.
Selain Shiro, Temasya Komedi Rakyat juga bakal dibarisi pelawak tanah air yang hebat seperti Zulin Aziz, Danial Zaini, Man Rajalawak, Mamak Puteh, Fikri Ibrahim, Atu Zero, Nasir Bilal Khan dan ramai lagi.-UTUSAN