Kesalahan rasuah bukan hanya tertakluk penjawat awam, ahli politik - Azam

Kesalahan rasuah bukan hanya tertakluk penjawat awam, ahli politik – Azam

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyerahkan kertas siasatan membabitkan seorang wartawan sebuah portal berita yang ditahan Jumaat lalu kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Pesuruhjaya Tan Sri Azam Baki berkata, kertas siasatan itu akan diserahkan selepas SPRM selesai menjalankan siasatan berhubung kes tersebut.

Menurut beliau, penahanan dibuat susulan pengadu mendakwa wartawan terbabit telah meminta sejumlah wang daripadanya dan ia merupakan kesalahaan dibawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

“Dalam hal ini, bila permintaan wang telah dibuat walaupun oleh seorang wartawan yang pada syak kita permintaan itu adalah berkaitan sesuatu perkara iaitu tidak menerbitkan suatu artikel.

“Dan dia memaksa pengadu itu untuk membayar wang, maka satu kesalahan rasuah dan kesalahan rasuah ini bukan hanya tertakluk kepada penjawat awam atau pun ahli-ahli politik sahaja.

“Namun demikian, selepas siasatan dijalankan saya beri jaminan kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk dinilai sama ada terdapat kes atau tidak. Tetapi ini adalah praktis kami dan juga berdasarkan pengalaman kami pada kes-kes yang lepas,” katanya menerusi sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, SPRM menahan reman seorang wartawan sebuah portal selama empat hari kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM20,000.

Ia sebagai balasan untuk menurunkan artikel yang dimuat naik serta tidak menulis lagi tentang sebuah agensi pekerja asing yang didakwa terbabit dalam sindiket.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada SPRM turut menyiasat sindiket kemasukan pekerja asing yang didedahkan dalam laporan oleh wartawan terbabit, Azam berkata, pihaknya telah memulakan siasatan mengenai kes tersebut.

“Saya telah cakap banyak kali kepada pihak media bahawa kita sedang menyiasat beberapa isu kartel kemasukan pekerja pekerja asing negara ini.

“Jadi yang itu siasatan masih lagi diteruskan tetapi kalau mana-mana pihak pula yang mengambil kesempatan untuk memaksa orang membayar wang itu lagi satu kesalahan,” katanya.

Tambahnya lagi, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pegawai penyiasat berhubung siasatan kes tersebut termasuk keperluan untuk menyambung reman atau sebaliknya.

Dalam perkembangan berlainan, Azam berkata, SPRM telah menahan seramai 322 individu dan membuka 238 kertas siasatan berkait rasuah dan salah guna kuasa bagi tempoh 1 Januari hingga 28 Februari lalu.

Katanya, setakat ini seramai 99 individu telah dituduh di mahkamah bagi dua bulan pertama tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya