ISKANDAR PUTERI: Kertas siasatan kes seorang warga emas yang menampar pemuda bukan Muslim di sebuah kedai serbaneka di pusat beli-belah di bandar raya Johor Bahru akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) selewatnya Jumaat ini untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, lelaki berusia 65 tahun itu dan anaknya telah dirakam percakapan semalam bagi membantu siasatan kes tersebut
“Mangsa warga tempatan berusia 21 tahun telah dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan. Doktor yang merawat mangsa juga akan dirakam percakapan. Kertas siasatan akan dirujuk kepada TPR sebelum Jumaat ini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini hari ini.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahinder Singh dalam kenyataan memaklumkan mangsa membuat laporan tentang insiden itu pada pukul 9.08 malam, Ahad lalu.
Mangsa mendakwa ditampar dua kali pada pipi kanan oleh seorang lelaki tidak dikenali selepas suspek bertanya mengenai agamanya dan meminta MyKad miliknya, namun keengganan menyerahkan kad pengenalan menyebabkan berlaku pertengkaran sebelum mangsa ditampar.
Insiden itu tular selepas video pertengkaran antara dua lelaki dimuat naik di laman X oleh pemilik akaun @bingbinge656.
Dalam pada itu, Kumar meminta orang ramai berhenti mencetuskan spekulasi tentang insiden berkenaan kerana boleh menggugat keamanan dan keharmonian kaum.
“Insiden yang terjadi ini terpencil dan bukan kerap terjadi. Masyarakat berbilang kaum di Malaysia sangat mengutamakan toleransi. Oleh itu, jangan kita mengambil tindakan di tangan sendiri kerana ada pihak berkuasa yang bertanggungjawab, bukan buat tindakan sendiri,” katanya. – UTUSAN