PETALING JAYA: Siasatan kes melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak mempunyai kaitan dengan UMNO.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi malah menegaskan kes berkenaan adalah melibatkan ‘individu’ dan tidak mencalarkan mahupun menggugat imej parti itu.
“Tidak ada isu dan perkaitan dengan UMNO. Itu adalah kes peribadi dan individu.
“UMNO tidak pernah terlibat dengan wang dan jongkong emas yang telah disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Ia tiada kaitan langsung untuk dana politik atau kutipan yang dibuat UMNO,” katanya semasa Majlis Berbuka Puasa bersama Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.
Beliau mengulas mengenai penemuan wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa serta 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta di di tiga premis, termasuk sebuah ‘safe house’ berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Ismail Sabri.
Wang tunai yang dirampas itu meliputi nilai dalam Baht, Riyal, Pound Sterling (GBP), Won, Euro, Swiss Franc, dan Yuan.
Susulan rampasan terbabit, SPRM mengesahkan Ahli Parlimen Bera itu dianggap sebagai suspek kes terbabit, selain antara tindakan diambil ke atas bekas Perdana Menteri itu adalah meminta beliau melakukan perincian harta mengikut Seksyen 36 Akta SPRM.