ALOR SETAR: Kegiatan curi kabel yang berterusan telah memberi kesan ketara ke atas perkhidmatan KTM di sektor utara sehingga Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) merekodkan kerugian masa sebanyak 162 jam akibat gangguan operasi.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ramai pihak khususnya penumpang tidak mengetahui bahawa punca sebenar operasi tergendala di sektor itu adalah disebabkan sabotaj terbabit berbanding masalah teknikal.
Katanya, jumlah insiden gangguan perkhidmatan KTM Komuter Utara akibat kegiatan itu telah meningkat daripada 85 insiden pada Julai 2024 kepada 804 insiden sehingga Disember 2024.
“KTMB sering dicemuh akibat gangguan yang berlaku, memang kita tidak salahkan penumpang kerana kita tahu kekecewaan mereka, perasaan tidak selesa mereka apabila perkhidmatan tergendala sebelum sampai stesen.
“Tetapi keadaan ini bukan sebab isu teknikal namun sabotaj terhadap infrastruktur KTM iaitu isu kecurian kabel sistem semboyan dan komunikasi yang mencapai tahap kritikal sehingga menyusahkan orang ramai,” katanya pada sidang akhbar sempena Lawatan Kerja Ke Stesen KTM Alor Setar, di sini hari ini.
Anthony Loke berkata, mengikut rekod, jumlah kes kecurian kabel telah melonjak 414 peratus daripada tujuh kes pada suku ketiga 2024 kepada 36 kes suku keempat tahun lalu iaitu peningkatan empat kali ganda.
“Sebanyak 20 lokasi hotspot dikenal pasti, di mana sektor Sungai Petani – Tasek Gelugor mencatatkan kes paling tinggi iaitu 35 dan sektor Gurun – Sungai Petani sebanyak 21 kes pada tahun 2024.
“Akibatnya, jumlah insiden gangguan perkhidmatan KTM Komuter Utara yang berpunca daripada kes kecurian kabel telah meningkat daripada 85 insiden pada Julai 2024 kepada 804 insiden pada Disember 2024. Kos pembaikan mencecah RM1.35 juta dengan kerugian masa 162 jam akibat gangguan operasi,” ujarnya.
Justeru katanya, tindakan penguatkuasaan mesti dipertingkat dan fokus kepada peruntukan undang-undang berkenaan ketenteraman awam dan keselamatan negara kerana kecurian kabel sistem semboyan bukan sekadar mengganggu perkhidmatan KTM tetapi berpotensi menggugat keselamatan penumpang dan kargo.
“Sindiket mencuri kabel adalah sabotaj berunsur jahat yang menjejas ketenteraman awam dan keselamatan negara. Sistem semboyan berperanan mengawal pergerakan tren yang membawa ratusan penumpang dan kargo yang nilainya jutaan ringgit secara selamat.
“Maka, ianya tidak boleh lagi dipandang mudah sebagai isu jenayah kecurian semata-mata. Kementerian akan bekerjasama dengan agensi berkaitan termasuk polis untuk memburu anasir-anasir yang mensabotaj infrastruktur negara dan membahayakan orang awam agar mereka dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
Tambah beliau, di peringkat KTMB, Polis Bantuan agensi itu telah melaksanakan 132 operasi khas termasuk rondaan 24 jam di kawasan panas seperti Sungai Petani, Gurun, dan Tasek Gelugor.
Ujarnya, KTMB juga akan menambah balik rangkaian Axle Counter dan peralatan Axle Counter dengan anggaran kos RM12.8 juta setahun di kawasan panas itu serta menambah infrastruktur pemantauan dan pencegahan termasuk kamera litar tertutup, dron, pagar anti-panjat dan memasang penutup manhole dengan mekanisma kunci baharu. – UTUSAN