Kes bunuh Sabari dipindah ke Mahkamah Tinggi Alor Setar

Kes bunuh Sabari dipindah ke Mahkamah Tinggi Alor Setar

MAZUAN Hanafi dan Muhd. Asyraf Idris dibawa ke Mahkamah Majistret hari ini bagi prosiding izin pendakwaan memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Mahkamah Majistret Jitra membenarkan kes kontraktor lelaki dan anak saudaranya yang didakwa membunuh pesara Felcra, Sabari Baharom, 62, dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Alor Setar.

Majistret Nurul Huda Idris memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nasruna Anhar Nordien.

Kedua-dua tertuduh iaitu Mazuan Hanafi, 39, dan pekerja kilang, Muhd. Asyraf Idris, 27, yang berada di kandang tertuduh mengangguk faham sebaik dimaklumkan kes mereka dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Alor Setar.

Mereka diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Rawiah Koshim yang menyebut bagi pihak peguam, T. Jayaraj. Turut hadir pada prosiding itu ialah abang Allahyarham Sabari iaitu Ismail, 70, dan peguam pemerhati keluarga, Syuhada Mohd. Soberi.

Mengikut pertuduhan, Mazuan dan Muhd. Asyraf didakwa secara bersama membunuh Sabari di titi Kampung Empa di Sungai Padang Terap, di sini kira-kira pukul 5.30 pagi, 4 September tahun lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali.

Suspek ditahan polis pada 27 September tahun lalu bagi membantu siasatan kes kehilangan Sabari yang dilaporkan hilang sejak awal September tahun lalu.

Kehilangan itu dianggap misteri kerana kereta Proton Waja milik mangsa ditemui dibakar di kawasan pembuangan sampah di gaung Hutan Gubir, Sik.

Kedua-dua suspek kemudiannya mengaku telah mencampak warga emas itu ke Sungai Padang Terap di sini, dalam keadaan tangan mangsa diikat dan mulut ditutup menggunakan pita pelekat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya