KOTA KINABALU: Status Datuk Peter Anthony sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap akan diputuskan dalam tempoh 14 hari selepas semua peruntukan undang-undang yang berkaitan dipenuhi.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya berkata, secara teknikalnya kerusi DUN Melalap akan dikosongkan namun, ADUN Melalap masih mempunyai ruang untuk tindakan undang-undang seterusnya.
Namun, sekiranya tiada tindakan undang-undang yang difailkan dalam tempoh 14 hari tersebut maka kerusi DUN Melalap akan dikosongkan secara automatik kerana Peter telah hilang kelayakan sebagai seorang ADUN.
“Berdasarkan Perkara 17(1)(e) di bawah Perlembagaan Negeri Sabah, mana-mana Ahli Dewan Undangan yang disabitkan atas kesalahan oleh mahkamah di Persekutuan dan dihukum penjara untuk tidak kurang dari setahun atau denda sebanyak tidak kurang RM2,000 akan hilang kelayakan sebagai seorang Ahli Dewan Undangan Negeri.
“Namun, peruntukan tersebut hendaklah dibaca bersama dengan peruntukan-peruntukan lain di bawah Perlembagaan Negeri Sabah yang berkaitan dengan kehilangan kelayakan seorang Ahli Dewan Undangan,” katanya pada sidang akhbar di Bilik Rafflesia DUN, di sini hari ini.
Ditanya tentang keperluan mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK), Kadzim berkata, memandangkan tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi maka tiada keperluan untuk mengadakan PRK.
Katanya, PRK tidak akan diadakan sekiranya kekosongan kerusi berlaku dalam tempoh kurang daripada dua tahun.
Selain kerusi DUN Melalap yang akan dikosongkan, kerusi DUN Sungai Sibuga juga dikosongkan selepas penyandangkan Datuk Mohamad Hamsan Awang Supain meninggal dunia pada 20 Januari lalu.
Peter yang juga bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah dihukum penjara bermula semalam setelah Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Sesyen pada 26 Mei 2022.
Sebelum ini, beliau dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 atas pertuduhan memalsukan dokumen berhubung kontrak penyelenggaraan Sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 11 tahun lalu. Peter telah membayar denda berkenaan.
Beliau memenangi kerusi DUN Melalap pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020 di atas tiket Parti Warisan (Warisan) sebelum beliau memutuskan keluar daripada Warisan pada 28 Disember 2021.
Selepas itu, beliau menubuhkan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) pada Februari 2022. – UTUSAN