KUALA TERENGGANU: Jumlah kerugian melibatkan jenayah komersial di seluruh negara mencecah RM3.1 bilion pada tahun lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, jumlah itu meliputi 41,701 kertas siasatan yang dibuka dalam tempoh tersebut.
Katanya, jumlah kerugian yang direkodkan pada 2023 adalah RM2.1 bilion dengan jumlah kes sebanyak 40,340 dan RM1.7 bilion pada 2022 meliputi 30,536 kes.
“Ini adalah satu peningkatan jumlah kerugian sangat besar dan kebanyakan adalah dalam pelaburan tidak wujud yang merekodkan jumlah kerugian hampir RM850 juta pada tahun lepas.
“Tahun ini sahaja, setakat ini sudah lebih RM123 juta kerugian dicatatkan melibatkan pelaburan mata wang kripto tidak wujud.
“Salah satu kes penipuan mata wang kripto tidak wujud melibatkan mangsa yang merupakan seorang warga emas berusia 74 tahun di Johor yang kerugian puluhan juta ringgit,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu di sini, semalam.
Tambah Ramli, sebanyak 4,353 kes penipuan dalam talian melibatkan kerugian keseluruhan lebih RM191.29 juta telah dilaporkan dalam tempoh 10 minggu pertama tahun ini.
Beliau berkata, pelaburan tidak wujud paling tinggi dengan kerugian RM123.64 juta diikuti penipuan telefon (RM48.17 juta), e-dagang (RM6.05 juta), e-kewangan (RM4.92 juta) dan pinjaman tidak wujud (RM3.64 juta).
“Kes penipuan dalam talian telah menunjukkan trend peningkatan dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini dengan 25,479 kes dilaporkan pada 2022, 34,495 kes (2023) dan 35,368 kes (2024).
“Apapun kita sangat proaktif membanteras jenayah ini dengan penangkapan 23,000 individu disyaki anggota sindiket penipuan di seluruh negara pada tahun lalu,” katanya. – UTUSAN