JASIN: Jumlah kerugian jenayah penipuan dalam talian di daerah ini mencatatkan peningkatan melebihi 300 peratus kepada RM1.9 juta pada suku pertama tahun ini berbanding RM451,330 bagi tempoh sama tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Mohamad Rusli Mat berkata, jumlah kes dilaporkan dalam tempoh tersebut turut meningkat daripada 35 kes kepada 74 kes.
Kata beliau, kebanyakkan mangsa yang terpedaya merupakan kakitangan awam dan pesara.
“Kerugian tertinggi membabitkan seorang mangsa lelaki berusia 50-an yang bekerja sebagai kontraktor. Wang simpanan berjumlah RM352,000 lesap selepas terpedaya iklan pelaburan palsu di Facebook.
“Mangsa yang percaya dengan tawaran tersebut selepas dijanjikan keuntungan kira-kira RM2 juta telah membuat bayaran secara berperingkat. Orang ramai dinasihatkan berwaspada dan peka jika terdapat elemen-elemen penipuan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-218 Peringkat Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Jasin di sini, hari ini.
Sementara itu, Mohamad Rusli berkata, indeks jenayah daerah berkenaan sepanjang tahun lalu menurun sembilan peratus kepada 171 kes berbanding 188 kes pada 2023.
Menurutnya, sebahagian besar kes jenayah yang menyumbang kepada indeks tersebut adalah pecah rumah dan curi tabung masjid.
“Penurunan ini didorong peningkatan keberadaan polis dan melaksanakan langkah-langkah pencegahan yang berkesan.
“Kami juga bekerjasama dengan pelbagai agensi berkaitan seperti Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) untuk meningkatkan kesedaran orang ramai,” ujarnya. – UTUSAN