PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan dinamika ancaman siber adalah tinggi, sejajar kebergantungan pelbagai aspek kehidupan yang memerlukan ekosistem dan prasarana keselamatan siber menyeluruh.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, kerajaan, pihak swasta dan rakyat mempunyai peranan masing-masing dalam memastikan negara berdaya tahan untuk mendepani cabaran keselamatan siber.
Katanya, kerajaan juga mempunyai keyakinan tinggi terhadap kepakaran dalam negara bagi mendepani cabaran tersebut.
“Keupayaan agensi berkaitan dengan kerjasama pelbagai institusi pendidikan serta industri tempatan dilihat mampu memastikan Malaysia sentiasa bersedia dan berupaya menghadapi ancaman siber semasa dan akan datang.
“Kerajaan juga menyeru pihak tempatan yang mempunyai kepakaran dalam keselamatan siber agar dapat bekerjasama dengan kerajaan supaya ekosistem keselamatan siber dapat dipertingkatkan dengan lebih menyeluruh menggunakan kepakaran anak tempatan,” katanya dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri, hari ini.
Semasa mempengerusikan Mesyuarat Keselamatan Siber hari ini, Anwar berkata, kerajaan mengambil maklum dan membincangkan tiga perkara penting.
“Pertama melibatkan situasi semasa keselamatan siber yang secara umumnya terdapat trend penurunan insiden keselamatan siber dari 2023 hingga 2024.
“Kedua, status pelaksanaan Akta Keselamatan Siber 2024 (Akta 854). Pelaksanaan akta ini akan terus diperkukuhkan melalui tambahan pelantikan Ketua Sektor Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII) dan pakar keselamatan siber.
“Ketiga melibatkan penganjuran cyber games dan persidangan peringkat ASEAN anjuran bersama Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa), Council of Europe dan Interpol berhubung jenayah siber yang dipersetujui diadakan pada Mei depan,” katanya. – UTUSAN