KLANG: Kerajaan Selangor melancarkan Gudang Makanan Selangor (GMS) dekat gudang Tiong Nam Logistics, di sini, hari ini sebagai inisiatif jaminan bekalan makanan di negeri ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sejumlah 5,000 tan beras dan satu juta kilogram (kg) daging sejuk beku dikumpulkan bagi projek rintis GMS.
“Kita akan menambah lebih banyak bahan makanan seperti daging, ikan dan lain-lain lagi bagi GMS. Kesemua bahan makanan ini boleh didapati di Ehsan Mart dan program Jualan Ehsan Rahmah (JER) yang dianjurkan di semua daerah dalam Selangor,” katanya selepas majlis pelancaran GMS.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan kerajaan Selangor berhasrat mewujudkan gudang simpan makanan khususnya bagi bekalan beras untuk kegunaan rakyat negeri itu.
Ketika itu, beliau memaklumkan, simpanan tersebut bertujuan untuk memastikan negeri mempunyai bekalan mencukupi untuk tempoh beberapa bulan sekiranya berlakunya konflik atau krisis yang memberi impak kepada Selangor.
Kata Amirudin, bilik sejuk beku merupakan pusat sementara GMS sebelum gudang sebenar program itu berkeluasan 10 hektar siap dibina di Kuala Selangor.
“Kerajaan negeri sudah pun memohon kebenaran merancang (KM) daripada Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) bagi membina gudang tersebut. Sebaik diluluskan, kita akan bina gudang itu yang dijangka siap dalam tempoh setahun setengah ke dua tahun,” jelasnya.
Selain itu, beliau memaklumkan akan memeriksa sendiri bekalan kelapa dan santan di beberapa lokasi di seluruh negeri bagi memastikan peniaga mematuhi penetapan harga bahan itu di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) berkuat kuasa Isnin ini..
“Insya-Allah, saya juga akan turun padang untuk memeriksa, bukan sahaja harga santan, malah barang yang ditetapkan sebagai kawalan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
“Kita tidak mahu mana-mana pihak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barang kawalan seperti ayam, daging dan sebagainya,” tegasnya. – UTUSAN