Kerajaan Selangor bertindak segera basmi tapak sampah haram

Kerajaan Selangor bertindak segera basmi tapak lupus sampah haram

AHMAD Fadzli Ahmad Tajuddin (kanan) bersama pimpinan agensi kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan meninjau tapak pelupusan sampah haram dekat Kampung Seri Sentosa, Ijok di Kuala Selangor baru-baru ini. – Gambar Pejabat SUK Selangor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan negeri me­rangka pelan jangka pendek dan panjang bagi penyelesaian isu tapak pelupusan sampah haram dekat Kampung Seri Sentosa, di Ijok, Selangor.

Perbincangan bagi mendapat­kan penyelesaian itu dilakukan antara Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL)

Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Selangor, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pe­jabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) serta KDEB Waste Ma­nagement Sdn. Bhd. (KDEBWM).

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin memberikan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan sistem pengurusan sisa pepejal lebih berkesan selain setiap agensi bertindak segera untuk membasmi tapak pembuangan sampah haram.

“Kawasan tanah yang terlibat 52 ekar, ada 68 lot. Cuma isunya adalah pelupusan sampah haram dekat kawasan tersebut. Kita menilai dari segi apa yang kerajaan negeri boleh bantu sebab aduan banyak diterima.

“Kita sudah buat banyak benda (tindakan), tetapi nampak gaya macam tak boleh selesaikan masalah. Kita harus cari penyelesaian dan pendekatan yang lebih baik untuk kita tangani.

“Kita cuba selesaikan, kita faham dari segi kegusaran, kebimbangan masyarakat itu kita nampak. Kerjasama (antara agensi) setakat ini baik, Pegawai Daerah dan yang dipertua PBT pun ba­nyak membantu, kita harap ia dapat dilaksanakan (penyelesaian) dengan baik,” katanya, semalam.

Terdahulu, beliau bersama agensi-agensi berkaitan menin­jau tapak pelupusan sampah tersebut bagi menilai tahap pencemaran serta tindakan perlu diambil bagi menangani masalah tersebut.

Jelas Ahmad Fadzli, lawatan tersebut juga bertujuan menge­nal pasti cabaran dalam menangani masalah sampah haram serta kesan pencemaran terhadap alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat setempat.

Selain itu, beliau memaklumkan isu tersebut tersebut  didakwa timbul sejak 2012 dan mengambil tindakan awal, namun masih gagal menyelesaikan masalah berkenaan.

“Dalam itu macam-macam jenis sampah ada. Plastik, sampah kecil-kecil, semua dibuang dekat situ. Katanya sejak 2012, akan ada risiko pencemaran, cuma tunggu masa sahajalah. Kita cuba (selesaikan), sebab kena ada penyelesaian jangka pendek dan sederhana, itu kena bincang.

“Sebab persepsinya kerajaan dilihat perlu menyelesaikan masalah, jadi kita kena pecahkan sempadan itu supaya kita rasa apa penyelesaian kreatif yang boleh dilakukan di dalam ruang lingkup undang-undang,” jelasnya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan tapak pelupusan sampah haram di Kampung Seri Sentosa, Jalan Sungai Buloh-Kuala Selangor yang dahulunya seluas 20 hektar, kini semakin melebar de­ngan keluasan kira-kira 52 hektar.

Keluasan kawasan itu melebihi separuh daripada keluasan Istana Negara yang boleh memuatkan 72 padang bola sepak, 12 Menara Berkembar Petronas atau tiga kompleks Perdana Putra yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya