KUALA LUMPUR: Kerajaan mengerahkan segala tenaga dan aset yang terbaik bagi membantu mangsa banjir di Johor, Sabah dan Sarawak yang menghadapi bencana di luar jangkaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan akan memastikan keselamatan dan kebajikan penduduk yang terjejas dengan bencana banjir itu terpelihara.
Menurut beliau, usaha sedang dipergiatkan termasuk daripada operasi menyelamat sehingga penyaluran bantuan keperluan khas.
“Hati saya tersentuh tatkala mendengar rintihan mereka yang terkesan. Rumah ditenggelami air, harta benda musnah dan anak-anak kecil terpaksa berlindung di pusat pemindahan.
“Apa yang kita lihat sudah cukup menyayat hati, namun bagi mereka yang mengalaminya, ujian ini jauh lebih berat,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Setakat tengah hari ini, seramai 12,255 orang daripada 3,771 keluarga masih terjejas, dengan 116 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di tiga negeri ini.
Johor mencatatkan jumlah tertinggi dengan 10,510 penduduk daripada 3,245 keluarga yang masih berada di 98 PPS melibatkan lima daerah.
Di Sabah pula seramai 1,273 penduduk daripada 405 keluarga masih berlindung di 11 PPS di enam daerah, manakala di Sarawak seramai 472 penduduk daripada 121 keluarga ditempatkan di tujuh PPS di empat daerah. – UTUSAN