LARUT: Kerajaan digesa menarik kerakyatan seorang lelaki yang didakwa menghina agama Islam yang dilaporkan berada di luar negara.
Ahli Parlimen Larut yang juga bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempunyai kuasa untuk menarik kerakyatan individu terbabit.
Katanya, KDN juga mempunyai kuasa untuk membatalkan pasport antarabangsa milik lelaki tersebut, sebagai langkah tegas terhadap perbuatannya yang tidak bertanggungjawab menghina Islam.
Menurutnya, tindakan itu penting untuk memastikan individu yang berada di luar negara itu tidak lagi berani mencetuskan kontroversi atau mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan keharmonian antara agama dan kaum.
“Orang yang membuat kenyataan sedemikian adalah mereka yang tidak bertanggungjawab. Saya menggesa KDN untuk segera menarik semula kerakyatan individu ini, sebagai bentuk hukuman yang setimpal,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada majlis penyampaian sumbangan kepada masjid dan surau Parlimen Larut di Selama di sini hari ini.
Hamzah yang juga Timbalan Presiden Bersatu berkata, tindakan menarik semula kerakyatan lelaki tersebut wajar dilaksanakan demi menjaga kestabilan negara dan keharmonian negara.
“Kita sebagai negara yang meraikan kepelbagaian bangsa dan agama harus menjaga kepentingan setiap pihak dengan bijaksana,” katanya.
Beliau mengulas video tular seorang lelaki menghina agama Islam serta mengeluarkan kata-kata lucah yang dipercayai berada di luar negara. – UTUSAN