PUTRAJAYA: Semua rakyat Malaysia yang juga pengguna perkhidmatan telekomunikasi akan menikmati kuota tambahan minimum 5GB pada Hari Raya pertama ini.
Berita gembira itu diumumkan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil pada sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di sini hari ini.
Menurutnya, insentif itu terpakai bagi semua pengguna perkhidmatan telekomunikasi warganegara Malaysia sama ada yang menggunakan prabayar atau pascabayar.
“Tambahan kuota data ini sah bagi tempoh minimum 24 jam tertakluk kepada terma dan syarat penawaran syarikat penyedia telekomunikasi iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM Tech, YTL Communications, Pavo Comms, Tune Talk, REDtone dan XOX Com.
“Insentif itu adalah usaha Kementerian Komunikasi dengan kerjasama strategik syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi ini sejajar dengan hasrat Kerajaan Madani.
“Maklumat lanjut mengenai insentif ini akan diumumkan oleh syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi,” katanya.
Katanya, secara keseluruhannya sekitar 45 juta pengguna perkhidmatan telekomunikasi berdaftar di negara ini.
Ditanya berapa banyak kos ditanggung kerajaan bagi menyediakan insentif itu, Fahmi berkata, kos insentif itu tidak ditanggung kerajaan sebaliknya ditawarkan secara percuma oleh syarikat penyedia telekomunikasi.
“Ia (insentif) bukan ditanggung oleh kerajaan sebaliknya syarikat penyedia telekomunikasi,” katanya. – UTUSAN