Keputusan permohonan jamin GISBH 24 Mac

Keputusan permohonan jamin GISBH 24 Mac

GISBH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Permohonan jaminan difailkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) Nasiruddin Mohd. Ali dan isterinya Azura Md. Yusof serta 19 lagi individu, ditentukan 24 Mac ini.

Hakim Datuk Seri Latifah Mohd. Tahar menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujah daripada pihak-pihak terlibat pada prosiding yang dijalankan di Penjara Kajang, dekat sini.

Sebelum ini, hanya akauntan syarikat GISBH, Hamimah Yakub, 73, dibenarkan jaminan atas faktor usia dan kesihatan.

Selain Nasiruddin, 66, dan Azura, 58, lain-lain pemohon ialah Hasnan Abd Hamid, 54; Mohammad Adib At-Tarmizi Asa’ari (anak pengasas kumpulan Al-Arqam, Asa’ari Muhammad), 33; Mohd. Shukri Mohd. Noor, 54; Mokhtar Tajuddin, 61; Shuhaimi Mohamed, 57; Muhammad

Afdaluddin Latif, 35; Mohamad Sayuti Omar, 36, dan Mohd. Fazil Md. Jasin, 58.

Lain-lain tertuduh ialah Mohd. Dhirar Fakhrur Razi, 35; Muhammad Zahid Azhar@Nadzri, 52, Abu Ubaidah Ahnad Shukri, 35; Muhammad Fajrul Islam Khalid, 29; Asmat@Asmanira Muhammad Ramly,45; Mahani Kasim, 55; Siti Hajar Ismail, 52; Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 28; Nurul Jannah Idris, 29; Nur Jannah Omar, 33, serta Siti Salmiah Ismail, 58.

Terdahulu, peguam Datuk Rosli Kamaruddin yang mewakili Nasiruddin dan Azura menghujahkan bahawa kedua-dua anak guamnya mempunyai penyakit dan memerlukan rawatan khusus.

“Nasiruddin merupakan bapa 26 anak, mempunyai empat orang isteri dan mempunyai masalah kencing manis yang serius serta pernah mendapat rawatan pada tahun 2018. Selain itu pemohon juga mempunyai masalah jantung dan kerosakan buah pinggang yang memerlukan rawatan sempurna,” kata peguam itu.

Peguam-peguam bela, Kamal Hisham Jaafar dan Najib Zakaria yang mewakili tertuduh-tertuduh lain turut memaklumkan pemohon-pemohon akan mematuhi segala syarat tambahan sekiranya dibenarkan ikat jamin.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Shafiq Hashim berkata Seksyen 13(2) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) telah memberi budi bicara kepada mahkamah untuk mempertimbangkan permohonan jaminan berdasarkan syarat tertentu.

Seksyen itu memperuntukkan seseorang yang didakwa di bawah Sosma boleh dijamin sekiranya berusia bawah 18 tahun, seorang perempuan atau seorang yang sakit atau uzur.

“Pemohon hanya sekadar menyatakan menghadapi sakit dan uzur dan layak diberikan jaminan sedangkan penyakit yang mereka hidapi itu adalah penyakit biasa,” katanya.

Pihak pendakwaan turut menghujahkan doktor yang merawat pemohon di dalam penjara juga mencukupi selain memounyai kemudahan rawatan dan ubat-ubatan lengkap yang membolehkan pemohon mendapatkan rawatan pada bila-bila masa.

Pada Oktober tahun lalu, kesemua mereka didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang namun tiada pengakuan selepas pertuduhan dibacakan.

Pengakuan tidak direkodkan berikutan kes itu dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan dibaca berasingan, mereka didapati menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Kumpulan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) di sebuah tempat di Jalan Desa, di Bandar Country Homes, Rawang di sini antara Oktober 2020 hingga 11 September 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang membawa penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya