PETALING JAYA: Pas menyifatkan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebagai angkuh dan mencerminkan sikap kepimpinan kerajaan yang seolah-olah berkuasa menentukan siapa yang layak disiasat dan dihukum serta siapa yang tidak.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, banyak kenyataan dan tindakan provokatif yang mencetuskan ketegangan bukan datang daripada rakyat biasa, tetapi anggota kerajaan yang memegang jawatan.
“Mereka sendiri dilihat mencabar kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, bidang kuasa pihak berkuasa Islam serta kepentingan sah umat Islam.
“Saya tidak perlu nyatakan secara terperinci kerana terlalu banyak tindakan yang menggores perasaan rakyat telah dibuat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail tentang pemimpin pembangkang akan menjadi kelompok paling ramai ditahan jika pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap individu yang mengganggu keharmonian masyarakat.
Justeru, beliau menggesa semua pihak khususnya pemimpin politik agar tidak mengeksploitasi isu berkaitan agama, kaum dan institusi diraja (3R) demi kepentingan politik kerana retorik itu boleh menggugat keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.
“Jika saya atau pihak polis mengguna pakai seksyen di bawah Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi atau undang-undang berkaitan lain berdasarkan aduan dan bukti, kawan-kawan Yang Berhormat Takiyuddin Hassan paling ramai akan kena tangkap,” katanya pada sidang akhbar
Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Pokok Sena, kelmarin.
Sebelum itu Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan tidak boleh mengambil pendekatan menyalahkan pihak lain semata-mata atau sekadar membuat penafian untuk melepaskan diri daripada tanggungjawab dalam isu keharmonian masyarakat.
Tuan Ibrahim berkata, bagi Pas, reaksi Saifuddin itu menunjukkan kerajaan tidak berlaku adil dalam menguatkuasakan undang-undang.
“Sepatutnya, Menteri Dalam Negeri menyambut baik saranan Setiausaha Agung Pas yang mendesak kerajaan bertindak segera terhadap mana-mana kenyataan bersifat provokatif mengenai keharmonian hidup berbilang kaum di Malaysia.
“Kita mahu semua pihak, tanpa mengira latar belakang agama, kaum atau pegangan politik, menghormati kebebasan beragama berlandaskan Perlembagaan Malaysia.
“Pas juga membuktikan negeri yang diperintah oleh parti ini tidak mempunyai kejadian pergaduhan kaum pada tahun 1969, walaupun terdapat insiden rusuhan kaum di negeri-negeri lain ketika itu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru semua pihak supaya bertenang dan menjaga keharmonian hidup bermasyarakat, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan.
“Bulan ini adalah bulan di mana Al-Quran diturunkan, maka marilah kita semua menjadikannya sebagai panduan dalam urusan bernegara dan bermasyarakat,” katanya. – UTUSAN