KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan menyifatkan insiden kematian Prebet Muhammad Muqriz Aseri, anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) Batalion Ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja (20 RAMD), Kem Sri Miri, Sarawak sebagai kes terpencil yang jarang berlaku.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, walaupun kejadian seumpama itu jarang berlaku, namun siasatan terperinci perlu dilakukan secara telus.
“Kes ini merupakan kes terpencil, namun kita tidak boleh mengambil ringan. Oleh itu, siasatan menyeluruh perlu dijalankan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Pengumuman Dividen Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) di sini, hari ini.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, kematian Muhammad Muqriz adalah akibat trauma tumpul pada dada (blunt trauma to the chest contusio cordis).
Menerusi kenyataan, Sel Perhubungan Raya Markas TDM berkata, mangsa yang berusia 21 tahun meninggal dunia selepas hentakan kuat di bahagian dada dan menyebabkan kerosakan pada jantung.
Jelas kenyataan itu, siasatan awal yang dilaksanakan oleh pasukan mendapati terdapat unsur ‘manhandling’ yang dipercayai penyebab kematian Allahyarham.
Tambah Khaled, tindakan tegas akan diambil sekiranya siasatan mendapati wujud kes dera atau manhandling seperti yang diperkatakan.
“Setakat ini, kita akan lihat dahulu hasil siasatan bagaimana. Sekiranya melibatkan buli dan manhandling yang diperkatakan, kita akan ambil tindakan tegas.
“Jangan kaitkan kes ini dengan kes yang berlaku di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). Kita juga mahu ingatkan untuk orang ramai tidak terburu-buru dalam buat kesimpulan, tunggu hasil siasatan,” katanya.
Semalam, dua anggota 20 RAMD ditahan selepas disyaki terlibat dalam insiden kematian Muhammad Muqriz.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, kedua-dua prebet berusia 22 dan 24 tahun itu ditahan di Kem Sri Miri pada pukul 4.30 petang. – UTUSAN