Kelulusan perolehan projek jadi tumpuan siasatan hari ke-4 Ismail Sabri

Kelulusan perolehan projek jadi tumpuan siasatan hari ke-4 Ismail Sabri

KENDERAAN membawa Ismail Sabri Yaakob meninggalkan ibu pejebat SPRM Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tumpuan siasatan kes rasuah melibatkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipercayai berkaitan dokumen mengenai kelulusan projek dan perolehan sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri.

Menurut sumber, siasatan itu antara tumpuan utama dalam pengambilan keterangan pada hari keempat keterangan diambil pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.

Katanya, sepanjang tiga hari siasatan dilakukan, ia turut berkisar mengenai aset-aset yang diisytiharan harta oleh Ahli Parlimen Bera itu.

Bagaimanapun, sumber berkata, Ismail Sabri dikatakan masih perlu memberi keterangan dan berkemungkinan tidak akan berakhir pada hari ini.

“Pegawai penyiasat memerlukan keterangan beliau mengenai beberapa perkara termasuk kelulusan projek yang dilakukannya.

“Masih ada pelbagai dokumen yang sedang disiasat dan lebih keterangan (diambil keterangan pada masa seterusnya) dilakukan pihaknya,” katanya di sini hari ini.

Ismail Sabri selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, di sini pada pukul 4.30 petang tadi selepas beliau hadir untuk kali keempat, sekitar pukul 9.50 pagi tadi.

Ismail Sabri mula disiasat oleh SPRM pada Januari 2024 berkaitan perbelanjaan publisiti kerajaan semasa pentadbirannya dari Ogos 2021 hingga November 2022.

Beliau telah dipanggil untuk memberi keterangan pada Januari 2024 mengenai kemungkinan salah laku melibatkan perbelanjaan kira-kira RM700 juta untuk publisiti kerajaan.

Pada 3 Mac lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, wang tunai RM170 juta dengan pelbagai mata wang serta 16 kilogram jongkong emas ditemui di sebuah kondominium di ibu negara yang dijadikan ‘safe house’ oleh pembantu kepada Ismail Sabri.

Pada Jumaat dan Khamis lalu beliau sudah hadir ke Ibu Pejabat SPRM dan diambil keterangan sekurang-kurangnya enam ke lima jam oleh pegawai penyiasat, selepas menunda sesi itu beberapa kali atas faktor kesihatan.

Siasatan terhadap Ismail Sabri dibuat mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya