PARIT: Ahli keluarga seorang kanak-kanak perempuan yang meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Teluk Intan baru-baru ini meminta maaf atas dakwaan mereka kematian kanak-kanak berusia tiga tahun itu disebabkan kecuaian pihak hospital.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri, A. Sivanesan berkata, berikutan itu kes tersebut ditutup.
Menurutnya, kes tersebut selesai selepas bapa dan ibu saudara kanak-kanak yang meninggal dunia itu datang ke hospital dan menyatakan rasa kesal mengenai hantaran dalam media sosial mengenai dakwaan mereka.
“Kedua-dua mereka hadir dan memberi keterangan kepada pihak hospital hari ini. Sebelum itu mereka ada menghubungi saya dan meminta maaf.
“Apabila dihubungi, saya meminta mereka hadir ke hospital pagi ini untuk memberikan kenyataan dan pihak hospital juga memberikan penjelasan mengenai kejadian itu,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Pelancaran Op Ramadan peringkat negeri Perak di Bazar Ramadan Seri Iskandar Business Centre (SIBC) di sini hari ini.
Menurutnya, ibu saudara mangsa juga menyatakan rasa kesal kerana membuat hantaran dalam media sosial mengenai dakwaan mereka..
“Berikutan permohonan maaf itu, kami anggap kes ini telah selesai,” katanya.
Beliau meminta orang ramai supaya tidak mengeluarkan kenyataan tanpa mendapatkan penjelasan daripada pihak hospital terlebih dahulu.
“Kejadian ini sepatutnya dijadikan pengajaran supaya tidak menyebarkan hantaran yang mengandungi fakta tidak benar dan berniat jahat yang boleh melanggar Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya..
Sebelum ini, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak menyiasat dakwaan kematian seorang kanak-kanak perempuan akibat kecuaian ketika menerima rawatan di sebuah hospital di Teluk Intan, minggu lalu.
Kanak-kanak berusia tiga tahun itu pada awalnya dibawa oleh ibu bapanya untuk mendapatkan rawatan kerana selesema.
Ketika dirawat, mangsa menerima beberapa suntikan sebelum disahkan meninggal dunia akibat jangkitan kuman. – UTUSAN