KOTA BHARU: Kelantan merekodkan jumlah perkahwinan bawah umur tertinggi di Malaysia iaitu sebanyak 193 pernikahan dalam tempoh empat tahun bermula 2022.
Mengikut maklumat e-Syariah, jumlah itu mengatasi pernikahan bawah umur di Selangor sebanyak 133, Terengganu (115), Kedah (126), Johor (73) serta Sabah (63) dalam tempoh sama.
Dapatan daripada Kajian Kesihatan dan Morbiditi Negara 2022 menunjukkan, Kelantan menjadi negeri tertinggi bilangan remaja termasuk yang masih belajar terlibat dalam aktiviti seksual sebelum berkahwin.
Berdasarkan dapatan itu, Kelantan mencatat lebih 9.5 peratus kelaziman pernah melakukan hubungan seksual dalam kalangan remaja di negara ini mengatasi purata nasional iaitu 7.6 peratus.
Sementara itu, statistik pada 2023 memaparkan Kelantan mempunyai jumlah bilangan ketua isi rumah (KIR) miskin dan miskin tegar tertinggi di Semenanjung. Seramai 57,355 KIR miskin telah direkodkan manakala 10,417 adalah KIR miskin tegar daripada jumlah keseluruhan sebanyak 67,772 orang.
Namun, statistik terkini sehingga 31 Disember tahun lalu menunjukkan Kerajaan Persekutuan menoktahkan kemiskinan tegar di Kelantan, apabila seramai 14,041 KIR berjaya dikeluarkan daripada kategori terbabit.
Faktor-faktor lain yang menyumbang kepada pernikahan bawah umur adalah tidak minat menyambung pelajaran selepas tamat sekolah rendah dan mengikut jejak langkah ibu bapa berkahwin muda.
Pengarah Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPek) Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Dr. Wan Ahmad Amir Zal Wan Ismail berkata, kesan kemiskinan turut menjadi penyumbang kepada perkahwinan bawah umur.
“Dalam konsep kemiskinan, ia dipanggil sebagai kemiskinan antara generasi yang mana datuk dan bapa daripada keluarga miskin. Kesannya, anak tersebut bukan sahaja miskin daripada sudut tiada harta, malah cara pemikiran, hidup dan sosial.
“Jadi mana-mana kelompok yang masih terperangkap dalam kemiskinan antara generasi ini, dia (anak) akan mengulang masalah-masalah atau isu serta persekitaran kedua-dua ibu bapa mereka termasuk perkahwinan awal. Bagaimanapun, jika individu yang berjaya keluar daripada kemiskinan, mereka tidak akan terjebak dengan isu ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd. Asri Mat Daud berkata, pihaknya melaksanakan garis panduan yang ketat melibatkan perkahwinan bawah umur di Kelantan.
Menurutnya, tindakan itu berlandaskan kepada peruntukan di bawah Seksyen 8 Enakmen Keluarga Islam Kelantan 2002.
“Langkah ini bertujuan menjaga kemaslahatan pasangan bawah umur, keluarga dan masyarakat. Umur minimum perkahwinan iaitu 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan dikekalkan tanpa pindaan.
“Ia selaras dengan peruntukan undang-undang dan mengikut hukum syarak dengan mengambil kira kemaslahatan pasangan bawah umur yang akan berkahwin,” katanya. – UTUSAN