MELAKA : Kekangan peruntukan tidak menghalang sayap Wanita Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk terus memperkukuhkan program kebajikan kepada golongan memerlukan, terutama dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
Ketua Srikandi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menegaskan bahawa bantuan kepada rakyat tidak boleh terhenti hanya kerana cabaran kewangan, sebaliknya perlu diteruskan dengan semangat kebersamaan dan keprihatinan.
Beliau memuji kreativiti dan inisiatif bahagian parti dalam mencari dana serta melaksanakan program yang mendekati rakyat, memastikan tiada golongan yang dipinggirkan.
“Sebanyak 136 bahagian Bersatu di seluruh negara telah mengadakan persidangan dan dalam masa yang sama terus menjalankan kerja-kerja kebajikan, sementara 17 lagi bahagian dijangka bersidang selepas Aidilfitri dengan komitmen yang sama dalam memperkukuhkan kebajikan rakyat.
“Walaupun sumber kewangan terbatas, Srikandi di setiap bahagian tetap berusaha keras mencari penyelesaian bagi memastikan bantuan terus sampai kepada mereka yang memerlukan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Iftar Bersama Anak Yatim anjuran Srikandi Bersatu Negeri Melaka di Pusat Khidmat Srikandi Bersatu Melaka, Tambak Paya, di sini, malam tadi.
Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka, Mohd Azrudin Md Idris dan Ketua Srikandi Negeri Melaka, Roseniza Muamad.
Sementara itu, seorang penerima bantuan, Fariheen Mohd Puad, 42, seorang ibu tunggal kepada dua anak berusia 12 dan 15 tahun, meluahkan rasa terharu apabila anak-anaknya diraikan dan menerima sumbangan buat kali pertama sejak enam tahun lalu selepas berpisah dengan suaminya.
“Meskipun saya bekerja tetap sebagai pembantu perawatan kesihatan di sebuah kem di Johor, kos sara hidup yang meningkat menyebabkan kehidupan agak mencabar. Bantuan ini amat bermakna dan membuatkan saya bersyukur,” katanya.
Pada majlis tersebut, hampir 70 anak-anak yatim dan kurang bernasib baik dari enam parlimen di Melaka menerima sumbangan duit raya dan hamper yang disampaikan oleh Mas Ermieyati.-UTUSAN