MELAKA: Titik panas di sepanjang sempadan perairan Dumai, Indonesia hingga ke Sepang, Selangor yang sering menjadi lokasi jenayah akan menjadi antara tumpuan utama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan sepanjang Op Khas Pagar Laut.
Timbalan Pengarah Operasinya, Komander Maritim, Norrimi Hassan berkata, kira-kira 60 peratus aset dan anggota berada dalam keadaan siap siaga untuk digerakkan sepanjang penugasan di perairan Selat Melaka.
Kata beliau, pemantauan rapi dan rondaan berterusan tetap dilakukan walaupun tiada aktiviti jenayah dikesan sepanjang tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
“Titik panas ini menjadi antara lokasi tumpuan penyeludup dan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI). Antara barang yang sering diseludup masuk atau keluar dari Malaysia seperti rokok, kontraban dan bekalan keperluan asas.
“Seramai 20 anggota akan bertugas setiap masa sepanjang Op Khas Pagar Laut yang bermula dua minggu sebelum dan selepas hari raya bagi memastikan perairan negara selamat,” katanya kepada pemberita selepas tinjauan Op Khas Pagar Laut di sempadan perairan Indonesia di sini, semalam.
Tambah Norrimi, tugas sebagai penguat kuasa maritim terdedah dengan pelbagai risiko seperti keadaan cuaca tidak menentu, ancaman jenayah atau situasi kecemasan di laut yang memerlukan tindakan pantas dan berkesan.
Menurutnya, operasi akan diteruskan secara agresif sepanjang tahun ini sebagai langkah memperkukuh keselamatan perairan negara di samping memastikan keselamatan anggota di lapangan terjamin.
“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini terdapat insiden serius melibatkan anggota Maritim Malaysia semasa operasi seperti ditetak, ditembak, dibaling bom ikan dan dilanggar bot penyeludup.
“Justeru saya menyeru komuniti maritim dan orang awam supaya bekerjasama dalam menyalurkan maklumat sekiranya melihat aktiviti mencurigakan di perairan Selat Melaka,” ujarnya. – UTUSAN