JOHOR BAHRU: Seorang peniaga kedai runcit di Taman Universiti, Skudai di sini menjadikan premis perniagaannya itu sebagai pusat operasi pengedaran dadah yang dijalankan bersama-sama pekerja dan rakannya.
Jenayah yang dijalankan sejak Januari lalu itu terbongkar selepas sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara menyerbu premis tersebut pada pukul 7 malam, 5 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, dalam serbuan itu pihaknya merampas dadah jenis syabu, serbuk ekstasi dan ganja lebih empat kilogram (kg) bernilai RM346,225.
“Selain itu, kami turut merampas empat buah kereta dan motosikal serta wang tunai berjumlah RM1,000 daripada tiga lelaki berusia antara 22 hingga 29 tahun itu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Balveer Singh berkata, ujian urin mendapati ketiga-tiga suspek negatif dadah bagaimanapun dua daripada mereka termasuk dalang mempunyai rekod jenayah lampau.
“Sindiket ini memperoleh bekalan dadah dari luar negara dan disimpan di kedai runcit tersebut sebelum diedar ke pasaran seluruh Johor.
“Kesemua suspek kini ditahan reman sehingga 17 Mac ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Pihaknya masih mengesan saki baki ahli sindiket itu dan orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kejadian jenayah di kawasan mereka boleh menghubungi talian 07-5563122. – UTUSAN