Kedai Emas Hajjah Halijah teruskan tradisi edar bubur lambuk

Kedai Emas Hajjah Halijah teruskan tradisi edar bubur lambuk

KEDAI Emas Hajjah Halijah meneruskan tradisi mengedarkan bubur lambuk seperti kelaziman pada setiap tahun sepanjang Ramadan di hadapan premisnya di Jalan Medan, Kangar, Perlis, semalam. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kedai emas Hajjah Halijah meneruskan tradisi sepanjang Ramadan sejak 11 tahun lalu mengedarkan bubur lambuk secara percuma buat orang ramai di hadapan premisnya di Jalan Medan di sini.

Tahun ini, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kedai emas berkenaan yang diadakan setiap hari sepanjang bulan penuh keberkatan itu melibatkan pengedaran sebanyak 1,000 bekas bubur lambuk.

Pengurus kedai emas Hajjah Halijah, Mohd. Shaiful Hasri Shukri berkata, pihaknya menyediakan dua periuk besar bubur lambuk setiap hari untuk diagihkan kepada orang ramai di setiap cawangan mereka.

“Bubur lambuk diedarkan kepada orang ramai di setiap cawangan kami bagi bersama-sama menyemarakkan sambutan bulan Ramadan pada tahun ini,” katanya.

Mohd. Shaiful berkata, bubur lambuk istimewa yang disediakan itu mula diedarkan pada pukul 4.30 petang dan selesai diagihkan dalam tempoh 30 ke 40 minit sahaja.

Katanya, menerusi inisiatif itu, pihaknya juga ingin berkongsi rezeki bersama orang ramai khususnya bagi meraih keberkatan bersempena bulan mulia ini.

“Edaran bubur lambuk ini memang sudah menjadi tradisi keluarga saya yang tidak pernah ketinggalan membuat agihan percuma di surau berhampiran rumah sejak tahun 1980-an lagi,” katanya.

Menurutnya, bubur lambuk itu mempunyai peminat tersendiri berikutan keenakan dan keunikan rasa juadah berkenaan yang resipinya diwarisi daripada ibunya, Halijah Saad, 70.

“Orang ramai juga sanggup beratur panjang bagi mendapatkan bubur lambuk itu. Kami mahu berkongsi rezeki dengan orang ramai dan salah satunya adalah dengan mengedarkan bubur lambuk percuma setiap hari sepanjang bulan puasa ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN