SUNGAI PETANI: Kementerian Dalam Negeri (KDN) bercadang untuk menjadikan institusi pondok sebagai rakan strategik dalam usaha membanteras fahaman ekstremisme.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerjasama itu juga boleh menyemai pemahaman Islam yang lebih inklusif serta menangani cabaran sosial yang semakin kompleks.
Beliau berkata, institusi pondok bukan sahaja meneruskan tradisi ilmu Islam, tetapi turut berfungsi sebagai benteng akidah umat Islam sejak zaman penjajahan sehingga kini.
“Mereka bergerak tanpa peruntukan tetap kerajaan, hanya bergantung sumbangan zakat dan derma. Saya berpendapat institusi ini boleh menjadi rakan strategik kepada KDN dan polis khususnya dalam membendung fahaman ekstremisme, membina kefahaman Islam yang lebih inklusif dan menangani cabaran sosial yang semakin kompleks,” katanya pada Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni, malam tadi.
Saifuddin berkata, KDN juga akan melihat peranan institusi pondok dalam menangani isu 3R (kaum, agama dan institusi diraja) yang sering dimanipulasi di media sosial sehingga menimbulkan ketegangan kaum dan agama.
“Saya yakin, jika KDN dan PDRM dapat mendekati mereka dengan lebih aktif, kita dapat membina satu kerjasama yang bermakna demi kestabilan negara,” katanya.
Mengenai isu kesesakan penjara, Saifuddin berkata, perkara itu masih menjadi cabaran besar bagi kementerian berikutan jumlah banduan sudah mencecah 80,000 orang ketika ini sedangkan kapasiti penjara sekitar 72,000 orang.
Sehubungan itu, beliau menggesa Jabatan Penjara lebih agresif melaksanakan hukuman alternatif bagi mengurangkan kebergantungan kepada pemenjaraan sepenuhnya.
“Antara langkah yang diperkuatkan adalah Perintah Kehadiran Wajib (PKW) di mana banduan menjalani hukuman di luar penjara dengan syarat tertentu. Terdapat juga tahanan di rumah, membolehkan banduan tertentu menjalani baki hukuman di rumah dengan pemantauan ketat.
“Selain itu, pemakaian Peranti Pemantauan Elektronik (EMD) yang membolehkan banduan yang dibebaskan bersyarat di bawah pengawasan dengan gelang penjejak elektronik,” katanya.
Saifuddin berkata, sekiranya kesesakan penjara tidak ditangani, ia boleh menjejaskan persekitaran dalam penjara, masalah kesihatan, pergaduhan dan tekanan kepada pegawai penjara.
“Dengan pendekatan ini, kita dapat mengurangkan kesesakan, memberikan peluang kepada banduan kembali ke masyarakat lebih awal serta membolehkan mereka menyumbang semula kepada keluarga dan ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN