KDA FC tidak akan tinggalkan Liga Malaysia - Utusan Malaysia

KDA FC tidak akan tinggalkan Liga Malaysia

PEMAIN dan barisan jurulatih KDA FC masih belum mengetahui nasib mereka dalam Liga Super musim depan ekoran kemelut kewangan yang masih melanda pasukan itu. -IHSAN KDA FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Penyokong setia Hijau Kuning mungkin boleh menarik nafas lega seketika apabila Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menegaskan bahawa pasukan itu tidak akan menarik diri daripada saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Pemilik KDA FC, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar, dalam satu kenyataan hari ini menafikan dakwaan bahawa pasukan Sang Kenari bakal dibubarkan atau meninggalkan liga seperti yang tular di media sosial sejak malam tadi.

Menurut beliau, pihak pengurusan KDA FC sentiasa berusaha memenuhi keperluan Perlesenan Kelab yang ditetapkan Malaysian Football League (MFL) dan sedang berkomunikasi dengan badan pengendali liga itu untuk memastikan Sang Kenari terus kekal bersaing di Liga Malaysia.

“Kita tidak pernah ada niat untuk membubarkan pasukan dan kita juga tidak pernah menghantar apa-apa surat yang memberi gambaran bahawa kita ingin meninggalkan Liga Malaysia,” katanya dalam kenyataan rasmi hari ini.

Justeru, beliau meminta para penyokong agar terus memberikan kepercayaan kepada pasukan yang akan berjuang habis-habisan bagi memastikan tempat mereka dalam saingan liga musim hadapan.

“Tidak ada yang sia-sia apabila kita berusaha dan berjuang. Yang sia-sia adalah tidak berusaha dan tidak buat apa-apa. Kami akan teruskan usaha, tetapi hasil akhirnya adalah ketentuan Allah SWT,” katanya.

Mengakhiri kenyataan itu, Mohd. Daud turut mendoakan agar seluruh penyokong Sang Kenari dapat menjalani ibadah puasa dengan tenang dan terus menyokong pasukan kebanggaan mereka.

Terdahulu, Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam satu sesi soal jawab bersama penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) semalam mendedahkan Sri Pahang dan KDA FC berkemungkinan besar tidak akan beraksi dalam saingan Liga Super musim depan.

Tunku Ismail menjelaskan, masalah itu berpunca daripada pengurusan kewangan yang tidak cekap apabila perbelanjaan melebihi pendapatan yang diperoleh.

“Saya terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada sahabat saya, bapa saudara saya, Tengku Muda, dan juga kepada pasukan legenda yang penuh sejarah, Sri Pahang kerana musim depan mereka tiada lagi, bubar terus.

“Sebab ada masalah dalam Pahang. Jadi, ini adalah berita yang sangat sedih. Macam Kedah, mereka juga pasukan bersejarah tetapi musim depan tiada dalam liga,” titah baginda.

Sehingga kini, MFL belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai status perlesenan KDA FC bagi musim baharu, namun perkembangan lanjut dijangka diumumkan kelak. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya