PETALING JAYA: Polis mengesahkan menerima satu laporan daripada keluarga peniaga belon yang mendakwa dikasari anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam insiden kekecohan di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), kelmarin.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, ibu kepada peniaga berkenaan membuat laporan tengah malam semalam.
“Siasatan berhubung kejadian itu sedang dijalankan dan kita (polis) dalam proses melengkapkan siasatan dengan mengambil keterangan saksi bebas serta meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
“Setakat ini, kita telah merakam keterangan daripada lima individu berkaitan kes tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun menurutnya, tiada tangkapan dibuat dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi mengenai insiden tersebut dan menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan secara telus serta adil.
Semalam, polis mengesan video berdurasi satu minit 42 saat dimuat naik pemilik akaun Facebook yang memaparkan sepasukan anggota penguat kuasa DBKL sedang menyita barangan peniaga belon di tepi jalan.
“Semasa proses penyitaan, berlaku pergelutan antara anggota dengan penjaja terbabit.
“Selain itu, beberapa orang penjaja tepi jalan yang lain turut membuat provokasi,” katanya.
Menurut Sulizmie, pihaknya akan mengesan semua individu yang disyaki terbabit untuk diambil keterangan.-UTUSAN