KUALA LUMPUR: Empat individu dikenalpasti menjadi kartel dalam kegiatan jual beli tapak bazar Ramadan di sekitar ibu negara dengan harga mencecah sehingga RM12,000 untuk satu tapak.
Tindakan itu dikesan oleh Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PPPBWPKL) yang memeriksa nama individu terbabit tiada dalam senarai pemilik tapak yang berdaftar.
Mendedahkan perkara itu, Presiden PPPBWPKL, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, sehingga kini hampir 30 peratus daripada 216 peniaga tapak bazar Ramadan di lorong Tengku Abdul Rahman (TAR) telah dipindah milik.
Katanya, kartel itu membeli tapak daripada penjaja yang berdaftar dan menjualnya kembali dengan harga serendah RM7,000.
“Broker itu memang tiada nama dalam senarai peniaga yang berdaftar kerana persatuan juga terlibat dalam sesi pemberitan tapak.
“Apa yang kita kesan ketika ini adalah ada antara penjaja jual tapak mereka kepada kartel sebelum kartel jual semula kepada penjaja pada harga dua kali ganda.
“Ini kerana penjaja ini mahu mengambil jalan mudah untuk mendapatkan keuntungan singkat dengan menjual tapak yang dimiliki kepada kartel,” katanya dalam satu sidang media,di sini, hari ini.
Rosli berkata, pihaknya juga dimaklumkan bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ada mengeluarkan saman bagi kesalahan pemilik tidak berada di tapak jualan.
“Ada kegiatan kartel yang dikesan berselindung di sebalik pembantu. Ketika pemeriksaan dilakukan, hanya ada pembantu berada di tapak jualan.
“Kami mahu DBKL mengambil tindakan lebih tegas dengan menutup operasi jualan penjaja terbabit jika kesalahan itu berulang sebanyak tiga kali.
“Tindakan mengosongkan tapak jualan bagi peniaga melakukan kesalahan itu boleh membantu memuktamadkan kegiatan kartel yang sudah berlaku sejak berkurun lamanya,” katanya.
Tambah Rosli, pihaknya telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mendedahkan kegiatan kartel di bazar berkenaan.
“Laporan pertama kami buat kepada SPRM Kuala Lumpur berhubung isu ini pada 24 Februari lalu dan perkara itu dibawa ke peringkat Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
“Pada masa sama, kami juga membuat laporan kepada pihak PDRM pada 13 Mac lalu bagi mendedahkan perkara ini supaya ia tidak berulang lagi pada tahun hadapan,” katanya.-UTUSAN