PETALING JAYA: Isteri kepada Shuk Sahar, Fara Salleh, hanya menginginkan proses pengesahan perkahwinan dan perceraian dengan suami dipercepatkan.
Ujar Fara Salleh, 33, dia kepenatan berulang alik ke pejabat agama menguruskan prosiding perceraian dan melakukan pemeriksaan kandungan berusia enam bulan dalam keadaan tubuh yang lemah.
“Apa yang saya boleh katakan semua ini sangat memenatkan. Bulan lalu jadual saya penuh dengan urusan di pejabat agama, lakukan pemeriksaan kandungan dan juga pemeriksaan kesihatan memandangkan saya menghidap masalah gangguan denyutan jantung (Sindrom Brugada).
“Saya hanya minta semua ini dipercepatkan. Ia berkali ganda memenatkan apabila pinggang saya sakit. Sekarang tengah tunggu mahkamah panggil, proses ini akan ambil masa tapi semuanya akan berjalan lancar, Alhamdulillah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Fara memaklumkan, pihaknya sudah berjaya mendapatkan segala dokumen pernikahannya dengan Shuk di Thailand dan menyerahkannya kepada pihak mahkamah.
Dalam pada itu, Fara turut memaklumkan suaminya tidak pernah bertanya khabar walaupun bayi yang dikandung sudah mencecah usia enam bulan.
Bagaimanapun, ujarnya, dia bersyukur kerana kedua ibu bapa banyak memberikan semangat termasuk menemaninya melakukan pemeriksaan kerana doktor melarangnya ke hospital sendirian atas faktor kesihatan.
“Saya tidak keseorangan menguruskan semua ini. Saya ada ayah, mak yang selalu temankan daripada turun naik pejabat agama dan pergi hospital.
“Adik perempuan dan sahabat baik saya pula banyak bantu untuk buat persiapan sambut anak.
“Doktor tidak benarkan saya kemana-mana sendirian kerana masalah denyutan jantung tidak teratur boleh menyerang bila-bila,” jelasnya.
Terdahulu, Shuk memaklumkan tidak menerima sebarang surat mahkamah berkenaan proses perceraian. Malah, dia juga membuat kejutan memaklumkan perkahwinannya dengan Fara di Thailand masih belum didaftarkan. -UTUSAN