Kandungan konsert, barangan eksklusif Wings diciplak, RPM bakal ambil tindakan undang-undang - Utusan Malaysia

Kandungan konsert, barangan eksklusif Wings diciplak, RPM bakal ambil tindakan undang-undang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengarah urusan, Rumah Produksi Merah (RPM), Datuk Eddy Amir Salim tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang enggan menurunkan video kandungan konsert anjuran syarikat miliknya serta merta.

Menurut Eddy, tindakan tersebut akan diambil sekiranya pihak tidak bertanggungjawab terbabit masih berdegil dan terus mengaut keuntungan daripada hasil cetak rompak itu.

“Apa yang mereka buat adalah membeli tiket Wings di tempat paling hadapan dan membuat rakaman penuh. Malah, ada juga yang mengadakan sesi siaran langsung.

“Kemudian, mereka mengenakan caj langganan bulanan. Pihak tidak bertanggungjawab itu difahamkan mengenakan caj antara RM16 hingga RM60 sebulan. Ini adalah cetak rompak alaf baru.

“Jika tidak dibendung, ia boleh menjejaskan penganjur konsert seperti kami. Berapa banyak mereka boleh buat duit hasil kerja haram ini. Kami bukan bercerita mengenai kerugian tetapi impak kepada industri muzik,” katanya.

Eddy berkata demikian ketika ditemui di Majlis Iftar dan Sidang Media RPM, di sini, malam tadi.

Eddy yang merupakan penganjur konsert TRIAD pada 14 Februari lalu berkata, pihaknya juga mahu bertemu dengan Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (MCMC) bagi mengetengahkan isu cetak rompak digital agar dapat membanteras perkara itu berlarutan.

“Ini bukan isu baharu. Sudah banyak konsert lain yang pernah menjadi mangsa. Pertemuan ini diadakan untuk mencari kata sepakat untuk mengekang permasalahan ini terus berleluasa.

“Jika diikutkan, kami boleh mengambil tindakan berdasarkan amaran yang telah tertera di tiket iaitu larangan untuk membawa peranti dan merakam sepanjang konsert berlangsung.

“Tapi kami belum sampai ke tahap itu. Jadi, kami beri amaran ini untuk menurunkan posting tersebut,” jelasnya.

Lebih kesal, pihak tidak bertanggungjawab tersebut turut mengaut keuntungan berlipat ganda dari hasil caj yang dikenakan secara atas angin, bahkan mengganggu proses RPM menjual kandungan kepada pihak berlesen.

Sementara itu, Awie turut meluahkan rasa kesal kerana ada juga pihak yang menjual barangan eksklusif Wings seperti T-shirt tiruan.

“RPM merupakan pengeluar sah kepada barangan eksklusif Wings namun, masih ada pihak yang menciplak dan menjual secara haram. Ini juga antara masalah yang sedang kami hadapi ketika ini,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, RPM turut berkongsi beberapa perancangan yang sudah diatur untuk kumpulan Wings sempena ulang tahun ke-40 penglibatan mereka dalam industri muzik tanah air.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya