JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak lelaki warga Singapura berusia tujuh tahun maut apabila kenderaan dinaikinya bersama tiga ahli keluarga dan seorang pembantu rumah warga Indonesia dirempuh sebuah lori yang terbabas lalu memasuki lorong bertentangan di Jalan Pantai menuju ke Permas Jaya di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, dalam kejadian pukul 10.34 malam itu, ibu, bapa dan adik si mati berusia dua tahun serta pembantu rumah mengalami kecederaan.
Ujarnya, impak pelanggaran, mangsa yang maut tercampak keluar dari kenderaan.
Jelasnya, ujian saringan air kencing terhadap pemandu lori terlibat mendapati, dia positif dadah jenis methamphetamine.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah lori dipandu lelaki berusia 57 tahun dari arah bertentangan terbabas dan melanggar kenderaan dinaiki kelima-lima mangsa.
“Mangsa dilaporkan maut ketika sedang menerima rawatan di sebuah hospital swasta pada pukul 3 pagi tadi,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 44 (1), Seksyen 26 (1), Seksyen 56 (1) dan Seksyen 15 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam pada itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, Pegawai Bomba Kanan I Mohd. Yusri Atan memaklumkan, seramai 10 anggota serta dua jentera dikejar ke lokasi kejadian bagi membantu mangsa. – UTUSAN