BALING: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun hilang selepas disedari tiada di kawasan rumahnya di Kuarters Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kampung Landak Paya, Kupang, di sini tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Mohd. Azmi Othman berkata, kanak-kanak terbabit, Muhammad Fayyad Affan Mohamad Fakhri disedari hilang kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi.
Katanya, datuk kanak-kanak terbabit dikatakan menyedari ketiadaannya di dalam rumah, lalu bertanyakan kepada ibu mangsa.
“Setelah menyedari kanak-kanak yang mempunyai masalah lembam, kelewatan bercakap dan autisme tersebut tiada di dalam rumah, mereka terus mencari di kawasan sekeliling rumah.
“Ia termasuk kawasan sungai yang jaraknya kira-kira 50 meter di hadapan rumah,” katanya di sini hari ini.
Katanya, berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang terdapat di rumah itu, kanak-kanak terbabit didapati keluar dari arah belakang rumah menuju ke pagar seterusnya keluar di sebelah kanan rumah.
Menurutnya, usaha pencarian kini dilakukan oleh anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), pasukan bomba sukarela dan penduduk kampung.
“Pencarian dilakukan di sekeliling rumah iaitu pada jatak 100 meter dan seterusnya sehingga 200 meter dari rumah.
“Kita bimbang kanak-kanak terbabit pergi ke tepi sungai yang jaraknya kira-kira 50 meter dari rumahnya,” ujarnya.
Tambahnya, walaupun pagar Rumah Pam Skim Perairan Kampung Landak Paya tertutup, namun kita khuatir kanak-kanak itu boleh ke sungai kerana selepas rumah pam itu sudah tiada pagar.
“Usaha pencarian akan diteruskan sehingga kanak-kanak itu dijumpai,” katanya. – UTUSAN