MELAKA: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun cedera dipercayai dipukul dan disimbah air panas oleh ibu kandungnya yang berang selepas mangsa dikatakan telah menggunakan alat solek miliknya di Batu Berendam di sini, Khamis lalu.
Difahamkan, kejadian terbongkar apabila salah seorang guru kanak-kanak malang itu terlihat kesan lebam pada tangan kiri dan belakang badan mangsa, ketika berada di sekolah kelmarin.
Guru itu kemudian bertanyakan punca kecederaan sebelum anak muridnya memberitahu telah disiram dengan air panas dan dipukul pada malam sebelumnya.
Mangsa mendakwa dipukul menggunakan alat pengurut tangan selepas bermain alat solek milik ibunya dan disiram dengan dua cawan air panas.
Susulan itu, guru berkenaan telah membawa mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Melaka dan kini ditahan di wad untuk pemantauan lanjut.
Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat kesan lebam serta kulit mengelupas pada lengan kiri mangsa.
Si ibu telah ditahan polis kelmarin untuk membantu siasatan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan.
“Mahkamah membenarkan suspek direman satu hari bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya. –UTUSAN