KUALA TERENGGANU: Keluarga kepada bekas jurufoto Utusan Malaysia, Azlan Bahrum tidak pernah putus harapan untuk mencari penawar dan rawatan yang sesuai supaya penyakit gout dihidapinya itu pulih.
Penyakit gout Azlan, 41, semakin kritikal sejak lima tahun lalu dan dia tidak lagi mampu bekerja kerana semua sendinya bengkak akibat lebihan asid urik.
Isterinya, Norhaspida Yatim, 39, berkata, mereka sekeluarga terus berikhtiar mengubati penyakit Azlan yang kini hanya mampu berada di rumahnya di Pangsapuri Ladang Tok Pelam, di sini.
“Saya dan tiga anak iaitu Muhammad Aqif Rayyan, 12; Awatif Nur Adawiyah, 11, dan Awfiyah Nur Umairah, 9 sentiasa berharap dia pulih seperti dahulu.
“Harapan tetap ada dan yang penting kami terus berikhtiar mencari penawar dan mendapatkan rawatan yang sesuai,” katanya selepas menerima kunjungan rombongan UMNO Terengganu menerusi program Ziarah Kasih Ramadan, semalam.
Dalam program itu, Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Rozi Mamat menziarahi Azlan dan bekas jurukamera RTM, Asmara Mat Hassan, 63, yang menghidap penyakit buah pinggang serta angin ahmar.
Menurut Norhaspida, kunjungan UMNO Terengganu itu dapat menceriakan suaminya dan meningkatkan motivasi mereka untuk terus bersabar dengan ujian yang dihadapi.
Sementara itu, Rozi berkata, Ziarah Kasih Ramadan adalah program rutin tahunan UMNO Terengganu untuk menyantuni rakyat jelata di seluruh negeri dan membantu meringankan beban mereka.
“Kebetulan, saya dapat tahu tahap kesihatan Azlan dan Asmara masih tidak memuaskan, jadi saya ambil kesempatan menziarah mereka. UMNO Terengganu sangat mengambil berat aspek kebajikan petugas media kerana sumbangan yang diberikan mereka besar ertinya untuk agama, bangsa dan negara.
“Saya berharap mereka berdua terus tabah dengan ujian kesihatan ini dan bersyukur kerana mendapat sokongan keluarga sebaiknya,” katanya. – UTUSAN